Setiap motor custom atau yang dimodifikasi mempunyai kisah sangat menarik di sebalik pembikinannya. Ada kalanya, ia membawa personaliti, karakter dan juga emosi pembuatnya. Begitu juga kisahnya dengan cafe racer Yamaha RD350 ini yang digelar sebagai Space Traveler.
Dibina oleh Bernhard Naumann atau dikenali dengan nama Blechmann, motor ini menampilkan gaya retro unik yang turut diselitkan unsur futuristik estetik. Berbangga dengan setiap hasil kerja kreatifnya, Blechmann telah mengangkat ungkapan kata-kata ‘bina bukan beli’ ke tahap yang baru.
Sebagai permulaan, tiada sebarang komponen aftermarket yang ditemui pada Yamaha RD350 ini. Semua yang dilihat pada motor ini adalah asli, yang telah dibersihkan semula atau dibina sendiri oleh Blechmann di bengkelnya. Apa yang lebih menarik, Blechmann mempunyai cara unik untuk menghasilkan setiap komponen yang digunakannya.
Lazimnya orang menggunakan tanah liat untuk mendapatkan bentuk dan saiz, sebaliknya Blechmann menggunakan kadbod. Kemudian, dia akan membentuk setiap komponen menggunakan tangannya sendiri dengan kepingan metal.
Bagi membina motor ini, Blechmann mulakan di bahagian tangki bahan api dengan gaya cafe racer. Beliau turut memuatkan filler cap dengan gaya Monza dan pengikat tangki kulit. Bagi memberikan garis lancar dari depan ke belakang, tangki bahan api telah dipadankan dengan tempat duduk upholsteri yang dijahit silang. Sarung kerusi buatan tangan dari logam untuk memastikan ia kekal rapi dan dalam masa sebagai perumah untuk komponen elektrik.
Beralih ke bahagian rangka, ia merupakan stok asal Yamaha RD350 yang telah dimodifikasi dengan pendakap bersilang untuk lebih kukuh dan meningkatkan tahap pengendalian. Selain itu, pendakap tadi juga memberikan nilai estetika “space-age” untuk motosikal ini seperti yang sering dilihat dalam filem sains fiksyen tahun 80-an. Bagi sudut kuasa pula, motosikal dua-lejang telah dipertingkatkan. Dengan modifikasi seperti ini, enjin mampu menghasilkan sehingga 75hp, satu lonjakan yang besar berbanding yang asal hanya 59 hp.
Transformasi secara menyeluruh ini membuatkan Yamaha RD350 ini bukan sahaja hebat dari sudut prestasi malah penampilannya juga cukup unik.
Sumber – RideApart.com