Pusingan ke-6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix berlangsung penuh sengit di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) dengan menampilkan aksi terbaik daripada pelumba-pelumba tempatan. Ribuan peminat menyaksikan persaingan merangkumi pelbagai kategori utama, termasuk CP150, CP125 dan Wira, yang terus mengangkat kejuaraan ini sebagai pentas paling berprestij untuk bakat muda dan pelumba berpengalaman tanah air.
Dalam kategori CP150, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencuri tumpuan apabila mendominasi perlumbaan sejak awal lagi. Beliau merampas kedudukan pendahulu sebaik sahaja perlumbaan bermula, meninggalkan lawan dengan catatan masa terpantas 1’16.037s pada pusingan ketiga. Isu teknikal yang menimpa Md Hafiza Rofa (TKKR RACING TEAM) membuka ruang persaingan sengit bagi kedudukan podium antara lima pelumba lain, termasuk Azroy Hakeem Anuar (HONDA ESTREMO YUZY RACING) dan Helmi Azman (MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM).
Afif kekal selesa di hadapan sehingga garisan penamat dengan catatan 14’03.643s, menghadiahkan kemenangan bergaya buat dirinya dan pasukan CKJ Racing. Rakan sepasukan, Md Akid Aziz, mempamerkan kebangkitan hebat di penghujung perlumbaan untuk meraih tempat kedua, menjadikan hari penuh bermakna dengan podium berganda buat pasukan tersebut. Azroy menamatkan perlumbaan di tempat ketiga hanya 0.091s di belakang Akid.
Kategori CP125 pula menampilkan aksi penuh dramatik apabila lima pelumba utama saling bergelut hingga ke garisan penamat. Md Izam Ikmal Izamli (PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING) muncul juara selepas berjaya menewaskan saingan sengit daripada Md Syamil Amsyar Md Iffende (PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING) dalam pertarungan yang tidak pernah reda sejak awal perlumbaan.
Syamil bermula cemerlang di hadapan, namun Izam segera memberikan tekanan dan mula mendahului sejak pusingan pertama. Pertarungan semakin rancak apabila rakan sepasukan Syamil, Md Farid Hakimi Farid Sezli, yang bermula dari petak kesembilan melonjak agresif ke kelompok hadapan dengan catatan masa terpantas perlumbaan. Lima pelumba kekal bersaing rapat; Izam, Syamil, Farid, Arash Tsunami Kamarudin (ATAS AHM MOTOR SPORTS) dan Md Idlan Haqimi Raduan (ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM).
Perlumbaan akhirnya ditentukan pada pusingan terakhir, apabila Izam bijak mengambil peluang di sektor akhir untuk memintas Syamil dan membuka sedikit jurang sebelum melintasi garisan penamat dengan masa 10’50.980s. Syamil terpaksa berpuas hati di tempat kedua (10’51.230s), manakala Idlan melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kategori Wira KBS pula tidak kurang hebat apabila menyaksikan kebangkitan dramatik di penghujung perlumbaan. Md Akif Abdullah (ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM) berjaya mencuri tumpuan dengan kemenangan penuh bergaya selepas menewaskan pendahulu awal, Farres Putra Md Fadhill (PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING), dalam perebutan sengit sehingga ke garisan penamat.
Farres bermula cemerlang dari petak utama selepas catatan terbaik kelayakan dan mengetuai perlumbaan seawal lampu hijau, namun tekanan konsisten daripada Akif serta Shahzureen Que Absyar (DASHOIL BROTHERS 7 TECH RACING) mula mengubah rentak saingan. Aksi semakin dramatik apabila beberapa pelumba utama terjatuh dalam kelompok hadapan, sekali gus membuka ruang untuk pelumba lain merebut peluang.
Memasuki pusingan akhir, Akif tampil lebih tenang dan mengekalkan kelebihan untuk menamatkan saingan dengan catatan 9’46.327s. Raiyan Khardanee (PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING) melakar kebangkitan menakjubkan untuk menduduki tempat kedua, manakala Farres terpaksa akur di kedudukan ketiga.
Top 3 Terpantas – C150
1-Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’03.643s)
2-Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’11.228s)
3-Azroy Hakeem Anuar – HONDA ESTREMO YUZY RACING (14’11.319s)
Top 3 Terpantas – C125
1-Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (10’50.980s)
2-Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (10’51.230s)
3-Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’51.310s)
Top 3 Terpantas – Wira KBS
1-Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’46.327s)
2-Raiyan Khardanee Md Sanusi – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’46.382s)
3-Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’46.418s)