Pusingan Kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak dan menyaksikan Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih gelaran Juara bagi kategori CP150 Edisi ke-30.
Di sesi “Super-Pole” menyaksikan Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas pada 43’798s sekaligus mengambil kedudukan pertama di grid untuk sesi perlumbaan akhir. Di tempat kedua adalah Muzakkir dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 43’821s dan diikuti oleh Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing di kedudukan ketiga di petak grid dengan catatan masa 44’088s.
Di sesi perlumbaan akhir, Muzakkir dengan pantas mengambil kedudukan P1 di selekoh pertama. Di P2 adalah Afif diikuti oleh Haziq di P3. Sebelum berakhirnya lap pertama, Afif memintas Muzakkir dan mengambil kedudukan P1. Di P4, Akid cuba menutup jurang dengan Haziq. Azroy yang berada di P5 mengejar Akid. Dengan setiap lap, jurang di antara Afif dan Muzakkir semakin besar. Di akhir lap ketujuh, Azroy berjaya mengurangkan jarak di antaranya dan Akid. Di akhir lap kelapan, Muzakkir hilang kawalan dan berundur ke P5.
Di P3, Akid mula mencari peluang untuk memintas Haziq tetapi Haziq tampak hebat mempertahankan kedudukannya. Di lap kesebelas, Akid berjaya memintas dari dalam untuk seketika sebelum diserang balik oleh Haziq. Berbaki tujuh lap, Afif mendahului kelompok tersebut dengan jurang 1.205s tetapi Akid meneruskan semangat untuk memburu takhta kejuaraan. Di lap keempat belas, Akid dengan pantas menyambar peluang untuk memintas Haziq sekali lagi dari dalam sebelum meningkatkan kelajuannya. Dengan takhta di tangan Akid, beliau mendekati Afif dengan jurang 0.552s.
Di lap terakhir, Afif dengan yakin melakukan satu lagi lap sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama pada 14’37:265s diikuti oleh rakan sepasukannya Akid yang berjaya dalam buruan takhta Juara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 166 mata dengan catatan masa hari ini pada 14’37:985s. Di tempat ketiga adalah Md Haziq Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 14’38:924s.
Bagi kategori CP125 pula, Md Irfan Haykal Amidi dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing meraih kemenangan di Litar Tangkak. Di sesi “Shoot-Out”, Irfan Haykal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas pada 45’541s yang telah menempatkan beliau di kedudukan pertama di grid diikuti oleh pelumba-pelumba sepasukan Khairi Ashraf dan Fareez Afeez dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team, masing-masing dengan catatan masa terpantas pada 45’898s dan 46’014s.
Di sesi perlumbaan pula, Fareez dengan pantas mengambil kedudukan P1 di ikuti oleh Irfan di P2 dan Khairi di P3. Tetapi di akhir lap pertama, Irfan dengan agresif memintas Fareez dan mengambil P1 diikuti oleh rakan sepasukan YYPang yang tidak kurang hebat. Di akhir lap keempat, Irfan jauh meninggalkan rakan sepasukan tersebut dengan jurang sebanyak 3.5s dengan Khairi di depan Fareez. Di P4, Hafiza cuba menutup jurang dan di kejar oleh Shafiq Ezzariq.
Perlumbaan tersebut semakin sengit tetapi Irfan mengekalkan kedudukannya di P1 dan hanya perlu menamatkan perlumbaan tanpa sebarang kesilapan. Di P2 and P3, Fareez cuba menutup jurang tetapi Khairi tidak mahu mengalah. Di akhir lap kesembilan, Irfan berjaya membuka jurang sebanyak 5.2s daripada Khairi. Di P4, Hafiza cuba mengelak tekanan daripada Shafiq. Berbaki lima lap, Syukran memintas Shafiq dan mengejar Hafiza.
Di lap terakhir, Irfan meneruskan aksi dengan mantap sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11’34:381s. Khairi Ashraf menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua dengan catatan masa 11’40:948s. Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11’46:707s.
Sementara itu, Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing berjaya di tangga pertama di Litar Tangkak petang ini di kategori Wira KBS. Di sesi kelayakan yang telah berlangsung semalam, Adib Arsyad mencatatkan masa terpantas sekaligus mengambil kedudukan pertama di grid. Ini telah memberikan beliau kelebihan di sesi perlumbaan tadi. Di kedudukan kedua dan ketiga adalah Firdaus Effendy dari AS25 Honda Racing Team dan Akif dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing.
Di sesi perlumbaan akhir pada petang tadi, Akif dengan pantas mendahului kelompok pelumba di selekoh pertama sebelum di pintas of Adib dan Farish. Sementara itu, di P4 adalah Iqram yang diberikan tekanan oleh Emil di P5. Pada akhir lap kelima, tiga pelumba yang mendahului pelumba-pelumba lain berjaya membuka jurang hampir 2 saat dengan pelumba-pelumba di kelompok belakang. Adib tampak hebat di P1 dan tidak memberikan Farish peluang untuk memintas. Namun begitu, Farish terus memberikan tekanan kepada Adib.
Berbaki lima lap, Akif cuba mencari jalan untuk memintas kedua-dua pelumba di hadapannya tetapi Adib dan Farish mempertahankan kedudukan mereka dengan mantap. Persaingan di antara Farish dan Adib bertambah hebat dan di lap terakhir, Farish dengan pantas mengambil pelung memintas dari dalam tetapi Adib tidak berputus asa.
Di selekoh terakhir, Adib memintas Farish tetapi malangnya, aksi tersebut menyebabkan Akif terjatuh dan Emil mencuri peluang untuk ke P3. Adib meluru ke garisan penamat untuk menyambar kemenangan pertamanya untuk musim ini dan mencatatkan masa 9’33:957s. Tempat kedua diambil oleh Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 9’34:332s. Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 9’35:648s.
Keputusan Akhir Cub Prix
CP150
1. Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, 14:37.265
2. Md Akid Aziz, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, 14:37.985
3. Md Haziq Md Fairues, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:38.924
CP125
1. Md Irfan Haykhal Amidi, BAD LAB HONDA KC RACING, 11:34.381
2. Md Khairi Asyraf Mahmood, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 11:40.948
3. Md Hafiza Rofa, ONEXOX TKKR RACING TEAM, 11’46:707s
Wira KBS
1. Md Adib Arsyad Md Hisam, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 9:33.957
2. Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, BAD LAB HONDA KC RACING, 9:34.332
3. Emil Idzhar Ezuan, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 9:35.648