Malaysia akan terus melahirkan jaguh-jaguh sukan lumba motosikal dengan adanya inisiatif dan program yang menggalakkan penyertaan generasi pelapis untuk menceburi bidang ini. Salah satu usaha yang dijalankan baru-baru ini ialah penganjuran KW Minibike Track Day & Gathering.
Diadakan sempena Jelebu 2 Wheels Festival 2023, program ini berjaya menarik seramai 42 penyertaan yang dihadiri para peserta dari Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan juga Negeri Sembilan. Para peserta telah tiba di perkarangan Mini Stadium Klawang seawal pukul 8.00 pagi.
Bagi makluman,sebanyak lima kategori telah disediakan iaitu kategori pilihan juri untuk Motosikal Tercantik, Pakaian Tercantik, Helmet Tercantik, Warna Tercantik dan sokongan terbaik (Best Supporter). Para peserta terlebih dahulu memulakan cabaran dengan sesi latihan minibike yang dimulakan sekitar pukul 9.00 pagi.
Kedua-dua Dato Undang Luak Jelebu bersama Yang DiPertua Majlis Daerah Jelebu telah bergambar bersama para peserta minibike sebelum melepaskan mereka di grid permulaan Minibike Track Day sebagai gimik perlumbaan yang melibatkan sebanyak 10 pusingan.
Sekitar pukul 6.00 petang telah berlangsungnya Cabutan Bertuah dan majlis penyampaian hadiah untuk para peserta Minibike Track Day & Gathering sekali gus menutup program tersebut. Semoga lebih banyak program sama diadakan di masa akan datang dan menerima lebih banyak penyertaan!