Pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix tetap berjalan lancar dan tidak melemahkan semangat para pelumba walaupun hujan sepanjang hari. Berlangsung di Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu lalu, pusingan kelapan ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing berjaya merangkul kemenangan sebagai juara dan naib juara bagi kategori CP150.
Kedua-dua pelumba Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Ahmad Afif Amran telah mempamerkan persembahan yang cukup mantap sekali gus mempertingkatkan kedudukan pasukan secara keseluruhan. Pada sebelas pusingan pertama, Izzat mendahului perlumbaan dan sedaya upaya mengekalkan kedudukannya. Namun, Afif bijak mengatur strategi dan menanti waktu yang sesuai sebelum menguasai kedudukan keseluruhan.
Bermula dari lap kedua belas sehingga tamatnya perlumbaan, Afif tampil dengan momentum yang mantap walaupun dalam keadaan litar yang basah. Beliau bukan sahaja mampu mempertahankan kedudukannya malah juga telah mengendalikan jenteranya tanpa melakukan sebarang kesilapan. Pada selekoh terakhir, Afif juga kelihatan meningkatkan kelajuan sebelum sampai ke garisan penamat.
Persaingan yang cukup mendebarkan itu menyaksikan Afif mencatatkan masa terpantas bagi sesi perlumbaan akhir pada 15’05:875s. Tempat kedua pula disambar oleh Izzat dari pasukan dengan catatan masa 15’07:601s. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 15’09:482s.