47 Motosikal Antara Kenderaan Untuk Dilelong
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan melelong 154 kenderaan pelbagai jenis yang disita, pada 2 Sept ini. Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Sharif berkata lelongan yang akan diadakan di Kompleks JPJ negeri, Bukit Katil itu melibatkan 100 kereta, 47 motosikal, empat lori dan tiga van dengan 100 daripada jumlah kenderaan itu boleh dilesenkan semula.
Beliau berkata orang awam yang berminat boleh membeli dokumen penjualan lelong berharga RM100 senaskah pada 17 hingga 28 Ogos ini di kaunter kewangan, JPJ Melaka dan bayaran hendaklah dibuat secara tunai sahaja.
“Hanya pembida yang mempunyai dokumen penjualan lelong, dibenarkan melihat kenderaan tersebut di stor simpanan kenderaan pada 24 dan 25 Ogos ini.
“Kita jangka hasil kutipan kali ini akan mencecah sehingga RM1 juta kerana pada tahun lepas hasil lelongan mampu mengutip RM1.3 juta yang melibatkan 75 kenderaan,” katanya pada sidang media di sini.
Muhammad Firdaus berkata antara kenderaan yang dijangka menarik perhatian pembida ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Toyota Estima, Honda Stream dan Toyota Wish, selain Toyota Vios dan Subaru dengan tawaran harga permulaan antara RM8,000 hingga RM10,150.
Katanya bagi pembida kenderaan yang berstatus ‘sekerap’ iaitu harga paling tinggi, mereka diwajibkan membawa sijil lesen barang lusuh ketika menyertai lelongan awam itu.
“Kita juga meminta semua pembida turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika hari lelongan awam tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, menurut beliau, JPJ Melaka berjaya mengutip sebanyak RM109,673 hasil pengurangan saman 70 peratus yang bermula 1 Ogos lepas dan akan berakhir 31 Ogos ini. — BERNAMA