Secara umumnya, menunggang motosikal secara berkonvoi adalah aktiviti yang menyeronokkan apatah lagi jika ia dilakukan dalam kumpulan yang ramai bersama-sama rakan yang ‘satu kepala’.
Biasanya aktiviti sebegini dilakukan belia namun tidak kurang juga golongan ‘otai-otai’ turut menjadikan ia sebagai satu aktiviti sihat kerana ia bukan saja memberi ketenangan minda sambil menghayati keindahan pemandangan bahkan sepanjang perjalanan malah mengeratkan hubungan antara mereka.
Namun untuk melakukan perjalanan atau berkonvoi sama ada untuk perjalanan jauh atau dekat, beberapa tips diberikan sebelum memulakan perjalanan atau dalam bahasa geng motosikal ‘tayar golek’.
Antara tips/adab yang disarankan ini, cukup ideal untuk dicuba dan semoga dapat memberi manfaat kepada semua penunggang :
1- Pasang niat kerana Allah swt (atau mengikut kepercayaan agama masing-masing) dan mengharapkan pengembaraan ini dikira sebagai ibadah. ( bagi umat Islam ia sebagai saranan Rasullullah saw )
2- Bersabar dalam pelbagai masalah yang bakal menimpa. Kerana dalam pengembaraan tidak semua menjanjikan kesenangan mungkin ada juga musibah menimpa kepada ahli kumpulan kerana ia merupakan sebahagian dari ‘adat’ bagi seseorang yang mengembara atau kumpulan konvoi.
3- Seharusnya dalam kita menyertai aktiviti berkonvoi, tiada istilah ‘siapa aku’. Tinggalkan jawatan atau pangkat tatkala kita mengembara. Jangan mengharapkan diri kita dilayan sebagaimana raja atau menjadi bos sepertimana ketika berada di office kita.
Juga jangan pula mengharapkan orang lain akan mengikuti segala telunjuk kita. Patuhi, akur dan ikuti jadual yang telah ditetapkan.
4- Berkonvoi beramai-ramai memberi peluang kepada kita berhubung dengan rakan-rakan dari pelbagai lapisan. Berkenalan dan hubungan silaturahim di antara semua peserta adalah sesuatu perkara yang bagus.
5- Kebiasaannya setiap kumpulan konvoi akan melantik ketua sebelum aktiviti berlangsung. Harus diingat bahawa akur arahan ketua pengembara adalah yang wajib malah Rasullullah SAW pernah menyatakan ‘Jika kamu bertiga lantiklah salah seorang menjadi ketua – guide’.
Patuhi setiap arahan yang diberikan dan seandainya tidak diikuti maka pincanglah perjalanan sesebuah pengembaraan dan kemungkinan besar aktiviti berkonvoi menjadi hambar dalam segala urusan. Sebagai contoh adalah dari segi ketetapan masa dan lain lain.
7- Sifat bantu membantu perlu ada dalam setiap ahli berkonvoi. Seandainya ada sebarang masalah dalam pengembaraan, permasalahan tersebut mungkin menjadi lebih mudah. Jangan mementingkan diri sendiri. Andai berlaku perkara yang tidak diingini, ingatlah setiap perkara perlu dibincangkan dengan ketua.
8 – Bagi setiap ahli, sentiasa berdoa pada setiap tempat yang ingin kita tuju/lawati. Pohon kepada Allah SWT atau tuhan (bagi agama lain) agar perjalanan yang kita lalui dijauhi oleh musibah yang tidak kita ketahui. Juga doa orang mengembara ini adalah doa yang dimustajabkan Allah swt. Jadi perbanyakkan doa yang baik baik.
9- Sentiasa basahkan lidah anda untuk berziki, tahmid dan tahlil (bagi ahli beragama Islam) ketika mengembara kerana ia menambahkan pahala dan mendekatkan kita dengan pencipta.
10 – Perbanyakan bersedekah dalam pengembaraan walaupun sedikit. Untuk rakan sepengembaraan atau orang luar. Ianya menunjukkan kita insan yang bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin