Satu lagi jenama motosikal premium baru dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Bakal berada di pasaran tempatan awal bulan Mac ini, Zontes Distribution (M) Sdn. Bhd yang beroperasi di Jitra telah melancarkan jenama Zontes dalam sebuah majlis yang berlangsung semalam di Toufeilun @ One City. Pada majlis yang sama, sebanyak 4 buah model telah diperkenalkan di hadapan barisan media dan tetamu yang hadir.
Jenama keluaran Guangdong Tayo Motorcycle Co. Ltd yang ditubuhkan sejak tahun 2003 di negara China ini sudah berada di pasaran antarabangsa termasuk negara Eropah. Kesemua model keluaran Zontes dibina dengan mengutamakan inovasi, menggunakan teknologi terkini untuk mendapatkan motosikal berprestasi cemerlang. Motosikal keluaran Zontes ini sesuai ditunggang dalam apa juga keadaan dan dilengkapi ciri-ciri yang lazimnya ada pada motosikal lebih besar dan mahal.
Keempat-empat model pertama Zontes di Malaysia yang diperkenalkan pada majlis tersebut adalah ZT310-T, ZT310-R, ZT310-X dan ZT310-X GP. Kesemua model ini didatangkan dengan kelengkapan yang hampir sama seperti bateri lithium ion, soket pengecas USB, fork USD, panel instrumen TFT, monoshock nitrogen, brek ABS dual-channel Bosch M9.1 ABS, brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api kawalan elektrik, sistem kunci pintar, kunci tempat duduk, tangki bahan api 15 liter dan rim 17 inci. Lebih istimewa lagi, beg barangan sisi dan belakang eksklusif akan diberikan secara percuma kepada pembeli awal model ZT310-T.
* Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Zontes Distribution (M) Sdn. Bhd. 04 – 917 2111.