Warna merupakan salah satu elemen penting yang memerlukan penelitian dan pemilihan tepat agar objek yang diwarnai tidak hilang seri. Pemilihan warna yang bersesuaian memakan masa atau dalam bahasa kasarnya, membuang masa. Kontradiksi sering berlaku dan persoalan adakah warna pilihan relevan dengan objek yang ingin diwarnai akan timbul. Namun, ia bukanlah masalah kepada golongan yang benar-benar mendambakan kesempurnaan dan mereka ini sangat terkenal dengan sikap cerewet.
Bak kata orang, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.” Kalau dah mula melakukan sesuatu, maka ia akan diusahakan sehabis baik untuk mendapat hasil yang sempurna. Bersesuaian dengan pepatah ini, Roadstar berpeluang menembual pencinta Retro tegar yang sangat cermat dalam membangunkan motosikalnya.
Biarpun dilanda arus kemodenan yang semakin menjalar di persada dunia permotoran seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ia tidak menggugat jiwa anda muda ini. Kekal bersama prinsipnya “tiada yang lama, maka tiada yang baru,” kami bersetuju dengan kata-kata pegangan beliau. Ini bukanlah pertama kali kisahnya dikongsi bersama Roadstar, malah beliau pernah menjalani proses sama sebelum ini dengan motor RXS Hijau Cafe Racer. Ahrah Ahmad yang pernah memiliki Suzuki GP 100, terus mengekalkan zaman retro dengan 2 buah jentera berusia lebih 20 tahun dan Yamaha RX3 1983 adalah antara koleksi motor retro kesayangan Mat Retro ini.
Ketelitian beliau dalam penjagaan motosikal dapat dilihat menerusi pelbagai aspek antaranya aksesori yang dipasang dan paling mengancam ialah warna pilihannya. Jingga atau oren. Lazimnya, warna oren bukanlah pilihan mana-mana peminat motosikal. Jarang untuk kita jumpa motosikal berwarna oren di atas jalanraya melainkan ia adalah padanan dengan model keluaran terhad. Bagi Ahrah, warna tersebut cukup sinonim dengan Yamaha RXK miliknya.
Menurut Ahrah, bukan mudah untuk mendapatkan model ini pada masa sekarang. Kalau ada pun, harganya cukup tinggi dan di luar kemampuan beliau. Ini disebabkan minat di kalangan anak muda terhadap dunia retro semakin meningkat. Beliau sendiri pernah ditawarkan dengan harga yang cukup lumayan untuk kedua-dua motosikal retro miliknya.
Mungkin pada pandangan mata kita yang biasa-biasa ini, tiada perbezaan yang ketara antara model Yamaha RXS dan Yamaha RXK. Namun tidak bagi Ahrah kerana beliau dapat menyenaraikan banyak perbezaan antara keduanya dan benarlah bagai dikata, “hanya Jauhari mengenal manikam.” Antara perbezaan yang disenaraikan Ahrah secara mudah adalah Yamaha RXS hanya berkuasa 125cc, sementara Yamaha RXK pula 135cc.
Bagi motor miliknya sendiri, tidak banyak modifikasi dilakukan terhadap enjin. Kuasa pecutan dan daya tarikan yang dikeluarkan oleh enjin asal motor tersebut sudah cukup memadai. Kelebihan percikan api untuk pembakaran enjin dari spark plug B 8 NGK meningkatkan reputasi terutama ketika pecutan. Ini terbukti di mana kelajuan 180km/j boleh dicapai walaupun di jarak yang dekat. Diikuti 5 transmisi gear dan klac RXK standard keluaran kilang yang masih dikekalkan. Sejurus selesai mendengar penjelasan panjang lebar, penelitian rapi telah dilakukan ke atas motosikal ini. Bahagian bodykit merupakan dari custom made tetapi masih mengekalkan aksesori khas untuk model RXK.
Suspensi depan telah diubah menggunakan suspensi Suzuki 150GP, diikuti pula dengan suspensi belakang yang menggunakan Mono Absorber Custom. Sistem brek depan dan belakang juga diubah kepada jenama tersohor, Brembo. Rim depan dan belakang digantikan dari asal kepada jenama AR. Manakala tayar depan dan belakang pula menggunakan saiz yang sama iaitu 80/90/18. Bagi menambahkan lagi seri, Ahrah telah memasang lampu HID custom bersaiz kecil dan tidak diletakkan di lokasi asal. Namun, cahaya dikeluarkannya cukup mengagumkan bagi menerangi jalanraya khususnya ketika waktu malam.
Kreativiti merupakan kunci dalam pembikinan motosikal ini sehingga kelihatan bergaya. Kenyaringan bunyi yang dihasilkan RXK ini seharusnya dimiliki setiap motosikal, apatah lagi untuk motosikal dalam kelas Cafe Racer. Lantaran itu, Ahrah memilih AHM Custom ekzos yang digabungkan dengan sistem piping rekaan sendiri dan menghasilkan bunyi yang betul-betul mantap.
Apabila ditanya tentang kepuasan diri dan hala tuju rekaannya itu, Ahrah jujur mengatakan bahawa kepuasan hadir apabila melihat segala impian yang dilhamkan jadi kenyataan. Beliau menghabiskan wang ringgit, berkorban masa demi untuk jentera dua roda yang berpuluh tahun usianya itu semata-mata untuk membuka mata dan minda masyarakat tentang barang-barang lama. Sekiranya tahu menilai dan dijaga dengan baik, barang-barang ini masih berguna dan boleh digunakan. Disamping itu juga, beliau ingin menarik minat anak-anak muda dan menjadikan jentera retro sebagai hobi yang sihat sambil berkenalan dengan pemilik dan peminat retro seluruh negara.
“Komuniti retro ini besar,” ujar beliau dan ia terbukti kerana di mana-mana acara permotoran (motosikal) khususnya Bike Week, gerombolan Retro menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan. Apatah lagi retro Cafe Racer Custom yang sudah pun mempunyai pengikut tersendiri.