Berusia 27 tahun dan mempunyai bilangan pengikut (follower) yang agak ramai di media sosial Instagram, Joe Labu’s atau nama sebenarnya Hasrin merupakan seorang pelakon aksi lagak ngeri di Movie Animation Park Studios (MAPS) yang terletak di Ipoh, Perak. Selebriti aksi lagak ngeri ini berjaya mencuri perhatian dan mengumpul sejumlah pengikut yang ramai khususnya dari kalangan lelaki.
Kebiasaannya, kaum wanita yang gemar mengikuti selebriti di laman sosial tetapi lain pula kisahnya dengan pengikut Joe Labu’s dan ini membuatkan saya ingin tahu dengan lebih lanjut, apa yang menariknya dengan anak muda ini selain kehebatannya membuat aksi lagak ngeri!
Sebelum bertemu untuk sesi penggambaran, terlebih dahulu saya menyelidik maklumat pemuda ini dan harus diakui ada sesuatu yang istimewa tentang anak muda ini. Beliau bermula dengan motor cc kecil dan masih lagi memiliki beberapa buah, Joe memang hebat dalam mengendalikan apa juga jentera dua roda. Jika anda ingin tahu, hobi beliau adalah mencipta gerakan-gerakan aksi lasak pada waktu lapang. Tidak berbahayakah?
Ya, ianya bahaya jika kurang latihan dan lokasi tidak sesuai. Antara aksi lasak kesukaan beliau adalah wheelie dan wikang pada kelajuan yang tinggi. Kemahiran mengendalikan motor dan mempamerkan aksi-aksi lasak begini membuatkan beliau terpilih menjadi salah seorang pelakon aksi lagak ngeri (stunt performer) di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak.
Oh ya, untuk makluman anda, Movie Animation Park Studios (MAPS) merupakan taman tema Malaysia pertama yang dibina di Malaysia dan pertunjukan Stunt Show berjentera antara tarikan utama dipersembahkan di sini. Dalam ratusan permohonan, hanya beberapa orang sahaja berjaya melepasi saringan temu duga, ujian fizikal dan kemahiran untuk bergelar seorang stunt performer. Inilah dia, Joe Labu’s yang memilih Yamaha R6 sebagai kenderaan ulang alik pergi kerja. Tekan sahaja, motor pun pergi. Memang menurut kata!
Tidak banyak modifikasi yang dilakukan terhadap motor ini. Menurut Joe, spec sedia ada sudah cukup memadai dengan kuasa kelajuan serta prestasi sebuah Yamaha R6. Cuma ada beberapa bahagian yang ditukar mengikut kesesuaian beliau seperti brek, tempat rehat kaki, ekzos dan tayar. Selain itu, Joe turut mengekalkan bahagian-bahagian asal R6. Beliau percaya dengan prestasi yang sedia ada.
Jika anda lihat aktiviti-aktiviti komuniti motosikal 150cc ke bawah, pasti kelibat beliau dapat dilihat di mana-mana majlis. Apa nak dikata? Kalau dah minat, apa pun layan. Atas dasar minat juga, Joe sering menyebarkan mesej-mesej positif kepada anak-anak muda agar mengamalkan gaya penunggangan yang selamat. Bagi pihak majalah Roadstar, saya mengucapkan semoga Joe Labu’s berjaya dan mengembangkan kerjaya sebagai pelakon aksi lagak ngeri kerana bakat sepertinya masih kurang di Malaysia. Ya, itulah keistimewaan Joe Labu’s berbanding rider lain.