Jolobu Bikers Motorsports Club (JBMC) adalah sebuah kelab permotoran dengan ahlinya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Program Jelajah Semenanjung Jolobu Bikers Motorsports Club (JBMC) ini diadakan buat julung kalinya oleh JBMC bertemakan Ride For Ukhuwah dengan pelbagai tujuan.
Lazimnya, konvoi motosikal berkuasa tinggi melibatkan perjalanan merentas sempadan ke negara jiran tetapi untuk tahun ini, JBMC menyasarkan untuk menikmati keindahan alam di negara sendiri. Tambahan pula, masih banyak lokasi belum dijelajahi sebilangan peserta sebelum ini.
Demi perjalanan lebih selesa, konvoi JBMC memilih menggunakan jalan kampung sambil melihat kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya. Dalam masa sama, menguji ketahanan diri para peserta dan motosikal dalam menempuh pelbagai cabaran juga mengeratkan ukhuwah sesama sendiri dan masyarakat setempat.
Aktiviti amal juga diselitkan di mana sumbangan dari kutipan ahli-ahli konvoi dan yang tidak berpeluang mengikuti konvoi telah diberikan kepada Madrasah Ahsanul Ulum di Kampung Tok Bali, Kelantan. Perjalanan hampir seminggu, jarak sejauh 2141 km, 11 negeri, 2 wilayah persekutuan di semenanjung Malaysia serta perbelanjaan sebanyak RM471 seorang. Namun pengalaman diperolehi setiap ahli jauh lebih bermakna. Bak kata pepatah, “ jauh perjalanan luas pemandangan.”