Suffian Mohd Nila menjadi pemilik pertama memiliki model Suzuki V-Strom 250SX setelah berjaya membuat pendaftaran awal secara dalam talian tidak sampai sejam selepas tempahan pendaftaran model itu dibuka kepada orang awam. Dia yang membayar secara tunai sejumlah RM18,500 sejurus membuat pendaftaran menjadi pemilik awal motosikal jenama itu dari 10 pemilik pertama yang membuat pendaftaran untuk menempah model terbabit.
“Saya suka dengan ciri-ciri motosikal ini. Sebelum ini saya telah memiliki dua model Suzuki (kuasa besar dan kecil) namun, jentera ini (V-Strom 250SX) dilihat agak santai dan lebih relaks jika menunggang pada jarak perjalanan yang jauh,” ujarnya yang hadir dari Klang, Selangor bersama isteri dan seorang anak.
Sementara itu, Suzuki Malaysia Sdn Bhd meraikan seramai 50 pemilik awal termasuk pembeli dari Sabah dan Sarawak yang telah membuat pendaftaran awal untuk memiliki model terbaharu Suzuki V-Strom 250SX pada satu majlis yang berlangsung di pusat hiburan dan rekreasi, Rawang sebentar tadi.
Motosikal dalam konsep adventure itu dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 26.1 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm, dibantu dengan sistem sejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System) dan Suzuki Easy Start System.
Ia dijual pada tag harga RM17,800 seunit (harga asas) dan anda boleh memilih tiga pilihan warna iaitu Champion Yellow No. 2, Pearl Blaze Orange, dan Glass Sparkle Black.