Boon Siew Honda mengumumkan versi ikonik calitan warna Repsol sebagai edisi terhad untuk Honda RS-X. Sejak dilancarkan pada November 2021, RS-X telah mendapat sambutan menggalakkan oleh rakyat Malaysia yang menghargai sebuah jentera dengan kombinasi gaya sporty, prestasi unggul dan ciri-ciri termaju.
Untuk tahun 2022, RS-X menyerlahkan lagi intipati Super Sportsnya dengan variasi warna Repsol, sekali gus memberikan penunggang bukan sahaja prestasi terbaik malah penampilan sporty yang tiada tandingan.
Dengan gayanya yang sporty, RS-X diberi penekanan terhadap penampilan sepenuhnya yang direka secara aerodinamik. Di bahagian hadapan menampilkan corak pengayaan yang agresif dengan padanan dwi-lampu LED dan bahagian muncung yang langsing dan tajam.
Pada bahagian mekanikal, enjin RS-X yang dikuasakan oleh DOHC penyejuk cecair 150cc dengan mematuhi piawaian EURO4 yang digabungkan dengan transmisi kuasa 6-kelajuan. RS-X mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.8 kW @9,000rpm dan tork maksimum 13.6Nm @7,000 rpm.
Model ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri berteknologi terkini seperti Anti-lock Braking System (ABS), pemacu rantai bertutup dan Speedometer Digital sepenuhnya yang memaparkan pelbagai maklumat.
RS-X versi Repsol juga mampu memberi pengalaman menunggang yang lebih selamat dan santai. Hanya tersedia untuk pasaran tempatan sebanyak 5,000 unit sahaja, Honda RS-X Edisi Repsol ditawarkan kepada orang ramai pada tag harga RM9,948 seunit tidak termasuk cukai jalan, insuran dan cukai pendaftaran.