Sekali lagi perkarangan tapak acara RTC Gopeng Perak digegarkan dengan deruman enjin motosikal keluaran Suzuki untuk Himpunan Pemilik TXR150. Program kali kedua ini dianjurkan Retro Street Perak, satu nama yang tidak asing lagi dalam penganjuran program permotoran di Ipoh, Perak.
Program yang menghimpunkan jentera-jentera retro khususnya jenama Suzuki dari serata pelusuk negeri telah berlangsung pada 28 Ogos lalu dan mencatatkan kehadiran seramai 3000 orang peserta. Sambutan yang sangat di luar jangkaan dan digamatkan lagi dengan kehadiran lagenda rock tanah air iaitu Ali XPDC. Walaupun keadaan kesihatannya tidak berapa baik tetapi beliau tetap turun padang untuk sama-sama memeriahkan program yang dianjurkan.
Pelbagai aktiviti disediakan seperti pemilihan helmet paling rare yang mana pemilihan ini sudah menjadi salah satu slot wajib pada setiap program anjuran Retro Street Perak. Selain itu, terdapat juga pemilihan pemenang untuk pemakaian mengikut tema Suzuki, rider berpasangan, keluarga TXR150 dan tak lupa juga rider paling jauh serta rider paling otai.
Program ini juga turut dikunjungi oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan iaitu Yang Berhormat Tuan Haji Razman Bin Zakaria bersama Pengarah Fama Negeri Perak, Tuan Haji Noorsham Bin Ramly bersama Timbalannya.
Tidak melepaskan peluang, pihak penganjur dengan sukacitanya menjemput Yang Berhormat untuk menyampaikan anugerah kepada pemenang kategori Rider paling jauh, saudara Shah yang hadir dari Kota Tinggi Johor Baharu dengan jarak sejauh 654 kilometer.
Tidak lupa juga pemenang kategori Rider Paling Otai dengan nama panggilannya ATOK yang berasal dari Seri Iskandar Perak berusia 68 tahun. Sebagai tanda terima kasih kepada Yang Berhormat, pihak penganjur iaitu pengurus Retro Street Perak En. Fuad telah menyampaikan cendera hati Retro Street kepada Yang Berhormat Tuan Haji Razman Bin Zakaria.
Pelbagai hadiah menarik dimenangi para peserta yang hadir melalui cabutan nombor bertuah di mana hadiah-hadiah telah merupakan sumbangan para penaja. Diantara penaja yang menaja hadiah-hadiah tersebut terdiri daripada Encik Ismail Idrus, Koyoko, Prima Wafour Mie Kulim, Encik Hamzah, Watali, Lan Phanter Design, REVO Autopart dan juga TARO. Pihak Retro Street Perak amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan penaja.
Penyampaian hadiah bagi kategori-kategori motorshow yang dipertandingkan juga berjalan lancar diikuti acara kemuncaknya yang dinanti-nantikan semua peserta program iaitu cabutan bertuah hadiah dengan hadiah utamanya merupakan sebuah motorsikal Suzuki RG Sport 110 menjadi gamat di akhir program.
Bagi menyempurnakan segmen ini dan mencari pemenang secara telus, pangerusi Retro Street Perak sendiri En. Fuad telah memilih secara rawak seorang kanak-kanak perempuan dalam kalangan pengunjung program. Hadiah utama menjadi milik En. Asri Harun dari Medan Gopeng Perak.
Kemenangan ini membuatkan beliau kehilangan kata-kata apabila diajukan soalan apakah perasaannya yang berjaya membawa pulang sebuah motosikal cabutan bertuah untuk program Himpunan TXR150 kali kedua. Ternyata beliau terlalu gembira sehingga tidak dapat mengungkapkan sebarang kata.
Jutaan terima kasih kepada semua yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung, di hadapan mahupun sebalik tabir khususnya krew-krew yang terlibat untuk memastikan program berjalan lancar. Tidak lupa juga, kerjasama baik dari pihak pengurusan RTC Gopeng Perak.