Setelah berjaya menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia pada awal tahun ini, RSX Northern sekali lagi mencatat sejarah dengan menganjurkan konvoi ke Pantai Timur sempena cuti Hari Pekerja. Diterajui oleh Che Lan, konvoi “Attack Kelantan 2025” berlangsung dari 1 hingga 3 Mei, dengan penyertaan 25 buah motosikal dan 30 orang peserta. Konvoi ini turut disertai wakil media dari Roadstar, Saudara Pak Art, yang bertanggungjawab merakam detik-detik sepanjang perjalanan.
Konvoi bermula seawal jam 7 pagi dari Alor Setar, menyusuri Lebuhraya Utara-Selatan sebelum keluar di Gurun dan meneruskan perjalanan melalui Sik, Parit Panjang, Kupang, dan Baling menuju ke Gerik. Di sini, peserta disertai oleh ahli RSX dari Perak sebelum bergerak bersama melalui Lebuhraya Timur-Barat menuju ke Kelantan. Walaupun perancangan asal untuk berhenti bergambar di Tasik Banding terpaksa dibatalkan kerana kesesakan pengunjung, peserta tetap menikmati pemanduan sambil menghayati keindahan suasana pagi menuju Batu Melintang.
Selesai mengisi minyak dan makan tengah hari, konvoi meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang, di mana beberapa kelab permotoran tempatan telah sedia menunggu untuk mengiringi peserta ke tempat penginapan di Bachok. Pada petang itu, acara suai kenal dan sukaneka diadakan di tepi pantai bersama kelab-kelab pengiring sebagai simbolik persahabatan antara komuniti permotoran dari utara dan timur tanah air. Suasana meriah dan penuh kemesraan menutup aktiviti hari pertama.
Hari kedua dimulakan dengan sarapan di Kedai Makan Selera Kampung Badak sebelum peserta bergerak ke Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan untuk menyampaikan sumbangan. Sambutan mesra daripada pihak pengurusan yayasan menambahkan lagi makna perjalanan ini. Majlis turut diserikan dengan acara sukaneka dan sesi bergambar bersama anak-anak yatim. Sebelum menuju ke penginapan di Kota Bharu, konvoi diiringi oleh ahli kelab gabungan Kelantan, dan aktiviti diteruskan ke Dataran Rehal serta Pantai Cahaya Bulan (PCB) untuk sesi santai. Pada malamnya, peserta bebas meneroka sekitar bandar, termasuk membeli-belah di Wakaf Che Yeh.
Hari terakhir menyaksikan peserta bersarapan di Medan Ikan Bakar Kedai Buloh sebelum membeli ole-ole seperti keropok di kedai berhampiran. Perjalanan pulang dimulakan dengan iringan kelab Kelantan sehingga ke Rantau Panjang, dengan hentian terakhir di Teh ‘O’ Beng 50 Sen. Keseluruhan konvoi pulang ke utara dengan selamat dan membawa pulang pelbagai kenangan indah sepanjang tiga hari yang penuh pengisian.
RSX Northern mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kelab pengiring seperti RSX Owner Club Kelantan, RSV2 Trico Kelantan Club, Ride Santai, Kool Riders, Empire Bikers, Friendship Speed Kelantan, Mix Rider dan lain-lain atas sokongan padu sepanjang program. Penghargaan turut diberikan kepada penaja yang menyumbang hadiah cabutan bertuah – Arisun, EXN Lube dan Koyoko. Semoga ukhuwah yang terbina akan terus berkekalan dan kita bertemu lagi dalam ride yang akan datang.