Perang skuter di pasaran jelas tidak menunjukkan sebarang tanda untuk ditamatkan. Bukan sahaja permintaan daripada pengguna semakin meningkat, malah para pengeluar skuter juga sentiasa mengemas kini model mereka bagi memenuhi kehendak semasa serta mendepani persaingan sengit dengan jenama lain.
Semasa sesi lawatan pengamal media ke China tahun lalu, wakil media berkesempatan menunggang uji ARIIC Touch 250 secara terus. Model skuter ini dilihat berpotensi tinggi untuk menarik perhatian penggemar skuter tanah air yang mahukan jentera berkuasa bersesaran sederhana pada tawaran harga bajet.

Kini, ARIIC Touch 250 telah pun rasmi mendarat di pasaran Malaysia pada harga RM13,688, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran, dan insurans. Skuter ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Matt Black, Urban Green dan Phantom Grey, berserta jaminan pengilang selama dua tahun atau 20,000 km, mana-mana tiba dahulu.
Dari segi prestasi, jentera ini dikuasakan oleh enjin 249cc satu silinder, 4 lejang, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair serta nisbah mampatan 10.3:1. Trenkuasa ini menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW (22.4 hp) pada 8,000 rpm dan tork maksimum 23.5 Nm pada 5,000 rpm, yang kemudiannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi pemacu tali sawat automatik.


Sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), pendikit mekanikal dua kabel serta sistem penghidup elektrik didatangkan secara standard bagi memastikan operasi enjin kekal cekap dan konsisten. Selain itu, keupayaan tangki bahan api berkapasiti 13 liter yang dibekalkan memberikan kepraktisan terbaik untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak sederhana.
Dinamik casis jentera ini didukung oleh suspensi fork teleskopik di bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar di belakang. Pengendaliannya menggunakan rim aloi yang dibalut tayar saiz 120/70-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang, manakala tugasan kawalan brek ditangani oleh cakera hidraulik tunggal hadapan dan belakang berserta kelengkapan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan sistem kawalan cengkaman yang boleh dinyahaktifkan (switchable traction control).

Kelengkapan aksesori pada Touch 250 turut menampilkan skrin paparan instrumen TFT, operasi sistem kunci pintar (keyless), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C. Ciri menarik lain yang disertakan merangkumi kamera papan pemuka (dashcam) pada bahagian hadapan yang dipadankan bersama penghadang angin yang boleh dilaras secara automatik.
Pengalaman tunggangan skuter ini dilengkapkan lagi dengan sokongan ketersambungan Bluetooth serta integrasi aplikasi pihak ketiga MotoFun bagi fungsi navigasi, pengoperasian dashcam, dan notifikasi panggilan masuk. Untuk kepraktisan storan, jentera ini menyediakan ruang kompartmen di kedua-dua belah bahagian hadapan serta storan bawah tempat duduk yang boleh dibesarkan (expandable), sekali gus menampilkan kemasan moden yang mengutamakan gaya dan praktikaliti buat penunggang.






















