Hari ini, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama Two Wheels Motor Racing (TWMR) telah mengumumkan penundaan pusingan pertama yang juga pembukaan musim Malaysia Superbike Championship untuk 2021. Terdahulu, ianya dijadualkan berlangsung pada 6 sehingga 8 Ogos dan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Kalendar dan jadual baharu akan diumumkan sebaik sahaja pihak kejohanan menerima arahan yang disahkan oleh pihak berkuasa.
Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif;
Sebagai penganjur, kami tiada pilihan selain menunda pusingan pertama MSBK dan pusingan berikutnya ke satu tarikh baru. Keputusan ini diambil ekoran kes positif covid-19 harian yang masih tinggi di Malaysia. Keselamatan pihak yang terlibat dengan MSBK adalah keutamaan kami. SIC dan TWMR akan kembali beraksi, namun buat masa sekarang, kami melaksanakan tanggungjawab untuk menyekat rantaian pandemik ini.
Manakala menurut Pengarah Two Wheels Motor Racing, Encik Ron Hogg berkata pihaknya turut berdukacita kerana pusingan pembukaan musim terbaharu ini terpaksa ditunda, namun akur kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan setiap pelumba yang mengambil bahagian serta kru-kru terlibat. Pihaknya juga akan memastikan untuk berusaha dengan lebih keras bersama Litar Antarabangsa Sepang sebaik sahaja kalendar baharu MSBK diumumkan secepat yang mungkin.
Oleh yang demikian, dinasihatkan agar semua peminat agar sentiasa mengamalkan SOP, jangan lupa mengambil vaksin dan jaga diri!