Bagi merayakan ulang tahun yang ke-80, jenama skuter ikonik dari Itali, Vespa, rasmi melancarkan model edisi terhad Primavera 80th. Dijual pada harga RM16,400 untuk pasaran Jepun, jentera ini merupakan model ketiga dan terakhir dalam siri koleksi ulang tahun ke-80 Vespa selepas pengenalan GTS 80th dan Sprint 80th. Bagi pasaran tempatan, model asas Primavera 180 (2026) sedia ada kini ditawarkan pada harga RM21,500.
Dihasilkan berasaskan Primavera 180, edisi khas ini menggabungkan enjin moden bersama sentuhan reka bentuk yang diilhamkan daripada model seawal era pengeluaran Vespa. Keunikan utamanya jelas menyerlah menerusi skim warna hijau pastel Verde 80th, sebuah warna sejarah yang dijumpai semula daripada arkib Piaggio bertarikh 1946. Warna nostalgia ini disalut kemas pada keseluruhan badan serta rim aluminium 12 inci yang sepadan.
Bercakap mengenai rim, reka bentuknya menggunakan gaya closed-centre yang mengambil inspirasi daripada rim besi jentera asal Vespa 98 tahun 1946. Rim tersebut diberikan sentuhan kemasan diamond-cut berserta ukiran khas “Est. 1946”. Selain itu, bahagian kiri skuter ini turut menampilkan semula gril penyejuk ikonik bagi membangkitkan nostalgia gaya mekanikal jentera era terdahulu.
Beberapa perincian eksklusif ulang tahun turut ditonjolkan, termasuklah kemasan hijau gelap pudar (matte) pada bahagian bingkai perisai hadapan, cermin sisi, pemegang untuk pembonceng, pemegang penutup suis serta penutup sambungan suspensi hadapan. Plak khas bertulis “80th” dipasang rapi pada perisai hadapan, manakala bahagian ruang barang (glovebox) dihiasi logo khas “80 years of Vespa Est. 1946” sebagai tanda peringatan sejarah panjang jenama ini.
Dari segi kuasa enjin, Primavera 80th mengekalkan spesifikasi mekanikal Primavera 180. Ia dijana oleh enjin 174 cc i-Get silinder tunggal (SOHC, 3-injap) penyejukan udara bersama sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Nadi ini berupaya menghasilkan kuasa 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 13.7 Nm pada 6,000 rpm, di mana hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi kotak transmisi automatik CVT.
Jentera dengan berat basah 132 kg ini mempunyai ketinggian tempat duduk 790 mm dan tangki bahan api 7.5 liter. Tugasan brek digalas oleh cakera 200 mm bersama ABS dwi-saluran di hadapan serta brek drum mekanikal 140 mm di belakang. Bagi melengkapkan kualiti tunggangan moden, skuter ini turut dilengkapi sistem pencahayaan LED sepenuhnya, paparan meter warna LCD, dan port pengecas USB untuk kemudahan penunggang.