Himpunan pemain-pemain motor kapcai terbesar seluruh Malaysia telah diadakan pada 11 Februari lalu di Stadium Sungai Besar. Dianjurkan oleh Jalinan Ukhuwah Event dengan kerjasama RetroStreet sebagai penyelaras program. Lebih meriah lagi, program ini dihadiri para pemain kapcai Supermoped dari seluruh negeri.
Bukan sahaja menerima sambutan yang menggalakkan dari para peminat motor kapcai di negeri Selangor, malah ada yang datang dari Johor. Sambutan di luar jangkaan ini sekali gus membakar semangat para pemain kapcai serta pihak penganjur.
Walaupun diadakan pada hujung minggu dan cuti sambutan Tahun Baru Cina yang mana kebiasaannya memberi peluang kepada ibu bapa membawa anak-anak bercuti ke destinasi pelancongan, sambutan dan kehadiran pada pengunjung pada penganjuran program ini sangat menakjubkan.
Program dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh pihak penganjur dan juga penyelaras iaitu segmen Autoshow yang memperlihatkan jentera-jentera yang diubahsuai dengan cukup unik serta kreatif. Seterusnya, segmen Gathering dan diikuti aktiviti yang paling dinanti-nantikan, Cabutan Bertuah.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah menarik, kepada yang kurang bernasib boleh cuba lagi di masa akan datang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan juga penyelaras aktiviti kerana menganjurkan satu lagi program yang pastinya bakal dinanti-nantikan penganjurannya saban tahun. Sekali lagi, tahniah!