Aprilia Asia Pasifik sebentar tadi mengadakan sesi prebiu media model supersport RS660 di laman Facebook rasminya. Bakal dilancarkan tidak lama lagi di pasaran Malaysia, RS660 sememangnya sebuah jentera yang ditunggu ramai. Ia dilihat dapat mengubat rindu peminat Aprilia yang mahukan sebuah jentera bersaiz sederhana.
Pengarah Urusan Piaggio Asia Pasific, Simone Niccolai memberitahu RS660 menandakan era baru dan masa depan Aprilia di peringkat global, terutama di rantau Asia Pasifik.
“RS 660 ialah sebuah motosikal luar biasa yang menyerlahkan DNA jenama lagenda ini. Ia merupakan jentera pertama yang menggunakan platform serba baharu. Platform itu juga akan digunakan pada model-model masa depan Aprilia yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Kami juga bakal memperkenalkan model Tuono660 kepada pengguna di rantau ini,” kata Niccolai.
RS660 menggunakan khidmat enjin parallel-twin dua selinder sebaris yang diasaskan daripada unit 1,100cc V4 yang dipasang pada model Tuono 1100. Dengan saiz saiz kompak dan berat Cuma 168kg, enjin tersebut mampu menjana kuasa mencecah 100hp.
Sebagai sebuah model baharu, RS660 dilengkapi pelbagai ciri menarik. Ini termasuklah lima mode tunggangan, Cornering ABS, kawalan cengkaman, kawalan wheelie dengan brek enjin, quickshifter, kerangka aluminium, brek Brembo dan banyak lagi.
Ia didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu emas, merah dan hitam.
Sumber : Mekanika