Bersempena dengan seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengibarkan bendera Malaysia bagi menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, seramai 16 ahli kelab CamK telah mengambil bahagian dalam konvoi yang berlangsung dari 31 Ogos 2024 hingga 1 September 2024. Konvoi ini bermula di Kulim dan berakhir di Kuala Lumpur. Perjalanan ini bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan ahli kelab sambil memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 negara.
Pada pagi 1 September 2024, ahli konvoi menuju ke Angkasapuri, RTM TV1, untuk bersama-sama dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia. Sesi ini memberi peluang kepada ahli kelab CamK untuk berkongsi semangat kemerdekaan serta menceritakan pengalaman mereka sepanjang konvoi. Selesai bersiaran di TV1, mereka terus ke konti Radio Selangor FM bagi melihat sendiri operasi di stesen radio tersebut, yang turut memeriahkan program dengan siaran-siaran bersemangat patriotik sepanjang Hari Kemerdekaan.
Setelah selesai di Angkasapuri dan Selangor FM, ahli konvoi menuju ke Dataran Merdeka untuk sesi bergambar sebagai kenangan manis. Dataran Merdeka yang merupakan lokasi bersejarah kemerdekaan Malaysia, menjadi saksi kehadiran mereka dalam mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara ahli kelab tetapi juga memupuk rasa cinta terhadap negara.
Kelab CamK turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada DJ Selangor FM, DJ Dassky dan DJ Kedah FM, DJ Faizal yang banyak membantu menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada Pengerusi Club CamK, En. Abdul Razak Bin Buhari, yang memainkan peranan penting dalam memastikan setiap program berjalan lancar. InsyaAllah, jika ada rezeki, Club CamK berharap untuk kembali bersiaran di kaca TV dan mengibarkan semangat patriotisme di masa akan datang.