Semangat Amal di Kampung Pulau Tujuh

Kelab NVOG & Friends bersama Team Amal Mambrur Sungai Petani dan Kolej Vokasional Kulim melaksanakan Misi Surau Belantara II pada 6 dan 7 September lalu dengan penuh semangat serta dedikasi. Sempena sambutan Hari Malaysia, konvoi amal ini menuju ke perkampungan Orang Asli berhampiran Tasik Banding Royal Belum di Daerah Grik, Perak, dengan misi utama untuk membina semula surau yang para peserta namakan sebagai Surau Belantara yang terletak di dalam Hutan Royal Belum.

Dengan menggunakan 9 buah pacuan 4 roda dan 2 motosikal offroad, misi ini bertujuan mengangkut bahan binaan seperti simen, pasir kasar, bata merah, dan bahan besi ke kampung tersebut. Para peserta perlu melalui jalan offroad sejauh 12km untuk membawa bahan-bahan ini dari RPS Banun, memandangkan jalan utama ke kampung tersebut agak mencabar. Kesemua barangan ini berjaya dipindahkan dalam tempoh masa 12 jam melalui empat kali trip dari setiap kenderaan, menunjukkan ketekunan para peserta melaksanakan tugas ini.

Selain daripada pengangkutan bahan binaan, misi ini juga melibatkan edaran pek bantuan makanan kepada beberapa kampung sekitar, sumbangan daripada Ahli Adun Bertam. Ini adalah sambungan kepada usaha terdahulu dalam Misi Kembara Kurban Surau Belantara I dan Majlis Hari Raya Aidil Adha yang turut diadakan di kawasan yang sama. Dengan pembinaan Surau Belantara yang baharu, ia dijangka akan menjadi pusat aktiviti penting bagi tujuh buah kampung orang asli yang berdekatan, menyediakan ruang untuk kelas agama dan aktiviti komuniti.

Sejarah Surau As-Syakirin yang hampir 20 tahun, menunjukkan betapa pentingnya inisiatif ini. Binaan awal yang menggunakan kayu dan batang bertam kini semakin usang dan tidak lagi mencukupi untuk menampung jemaah yang semakin ramai. Penglibatan seramai 44 orang peserta misi dalam membangunkan surau ini adalah cerminan semangat “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” yang mengutamakan perpaduan dan harmoni tanpa mengira bangsa. Usaha ini tidak hanya menandakan sumbangan material tetapi juga komitmen demi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.