Pernahkah anda bertanya apakah yang menjadikan motosikal Harley Davidson (HD) sebuah jentera dua roda sesuatu yang cukup istimewa. Nama, ketrampilan, rekabentuk, bunyi atau lagak si pemakai? Memang ya…sedikit masa dulu segala yang dicatat di atas adalah tepat namun kini ianya sudah berubah mengikut peredaraan masa. Tidak sekadar bunyi dan nama yang gah, komuniti HD sebenarnya masih mengamalkan nilai murni walaupun kerap menjadi cemuhan pelbagai pihak.
Dan, sekiranya ditanya soal imej pemilik, sudah pasti yang terbayang di kaca mata kita penunggang yang sudah berumur, berperut besar dan imej jaket kulit dengan seluar koyak dipadankan dengan kasut boots yang kusam. Namun tidak kurang juga membandingkan harganya yang cukup ‘ketat’ sehinggakan hanya segelintir atau golongan tertentu sahaja dapat menawannya.
Mungkin juga ia salah satu sebab mengapa jentera HD begitu mahal kerana ia hanya berkisar kepada penjenamaan produk. Jentera HD nyata memberi perhatian yang tidak berbelah bagi dan dianggap melampau terhadap penciptaan ikoniknya. Untuk tujuan itu, apabila anda bercadang untuk membeli sebuah jentera HD, anda tidak hanya sekadar membeli sebuah motosikal tetapi anda berubah menjadi sejenis penunggang motosikal atau golongan tertentu sahaja. Benarkah begitu?
Personaliti RoadStar kali ini, Armizi Alias atau Bob pemilik kepada beberapa jentera HD bagaimanapun menolak perseptif terhadap pemilik HD yang sering kali dilemparkan oleh masyarakat terutama di Malaysia ini. Bukan sahaja dikecam, malah ada ahli HD juga turut dilemparkan dengan pelbagai tanggapan yang serong sebelum ini.
“Saya tidak nafikan, bahawa dulu memang tanggapan masyarakat terhadap ahli HD memang agak skeptikal. Gaya dan imej penunggang, topi keledar kura-kura dan banyak lagi yang kurang menarik diperkatakan oleh mata yang melihat.
“Tetapi dari satu sudut, kumpulan HD nyata lebih ‘brotherhood’ dari kumpulan motosikal lain. Lihat sahaja pergerakan kami. Walaupun ‘slow’, kami bergerak hingga ke destinasi ditetapkan dalam satu kumpulan,” ujar Bob ketika menerangkan sesuatu yang unik terhadap kumpulan HD ini.
Malah Bob pemenang model HD bagi kategori ‘Warna Terbaik di Art Of Speed 2019 dan Best Bagger & Indonesia Custom Engineering Award di KL Bike Week 2019 melihat senario kini sudah berubah. Beberapa aktiviti masyarakat yang dilakukan kumpulan HD sekurang-kurangnya mengubah perseptif awam terhadap kumpulan HD kepada yang lebih baik.
Ketika diajukan persoalan mengenai harga, Bob membandingkan perbezaan yang cukup ketara antara harga zaman lalu dan tag harga ketika ini. “Jentera HD bukan sahaja diterima baik oleh masyarakat malah dari segi harga ia seolah-olah sudah ‘mesra’ pengguna dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding harga sebelum ini,” ulas Bob tatkala dikaitkan dengan harga jualan sebuah HD.
Kembali bercerita mengenai jentera HD miliknya, Bob yang memiliki dua model Harley Davidson model Nightrod dan RoadGlide sejak tahun 2012 terdahulu pernah memiliki beberapa koleksi motosikal jenama lain, mengakui jentera modifikasi HD yang dibangunkan adalah kepuasan yang tidak terhingga sepanjang dirinya berkecimpung dalam dunia roda.
Bob Iron Head MG jolokan di kalangan rakan-rakan dalam komuniti HD, menyifatkan jentera Road Glide Special tahun 2015 memiliki aura tersendiri. Pernah memiliki pelbagai pencapaian termasuk jentera terbaik di Art of Speed pada tahun lepas, Road Glide Special yang dibangunkan bersama rakan-rakan adalah sesuatu yang luar biasa.
“Idea malah tanggungjawab membina motosikal ini dikongsi bersama rakan-rakan dari Iron Head Garage seperti Jalil, Megat Iskandar, Syed Joe dan juga saya sendiri,” ujar Bob ketika memulakan perkongsian mengenai HD Road Class Special.
Sememangnya, proses pengubahsuaian memerlukan masa yang agak panjang, Bob memgakui fasa itu bukanlah satu perkara yang mudah malah sepanjang empat hingga ke lima bulan dari kerja-kerja pengubahsuaian seperti pemasangan barangan yang ideal dan baharu serta padanan warna yang ‘kena’ dengan jentera itu sendiri adakalanya cukup menghiburkan.
“Ada kalanya pahit tapi tak kurang juga ada manis dalam proses ini. Malah kadangkala apa yang kita lakukan tidak berhasil mengikut kehendak yang kita inginkan.
“Sebagai contoh, proses penghasilan warna telah dilakukan berkali-kali manakala pemasangan barangan alat ganti merupakan momen manis apabila ia berhasil mencapai keputusan yang terbaik bukan sahaja mengikut kehendak kita malah untuk tontonan ramai seperti mana di Art of Speed tahun lepas,” ujar Bob lagi.
Beberapa komponen yang dipadankan ke atas jentera Road Glide Special adalah seperti Arlen Ness Fork Leg, Tank dan Handlebar (Paul Yaffe) aksesori untuk bar pemegang (Arlen Ness), lampu utama dan lampu isyarat (Custom Dynamic LED) dan lampu brek dan lampu belakang jenis Baddad antara barangan yang dipasang ke atas Road Glide Special.
Selain itu, Rocker Cover, Primary Cover, Floorboards, Air Cleaner (Arlen Ness)ECU Management – Dynojet Power Vision, Front Fender, Rear Pegs, Rear Fender (Baddad) pelana tempat duduk (Le Pera) dan banyak lagi antara komponen yang dipasang ke atas Road Glide Special.
Mengakui proses menjadikan model HD sebagai sebuah jentera modfikasi bukan datang dari dirinya seorang malah Bob agak terbuka menyatakan bahawa semua hasil kreatif dan idea adalah menerusi perbincangan dari teman-teman garaj dan perekacipta warna motosikal saya.
“Saudara Boy Rolihin banyak memberi tunjuk ajar dan panduan dan adakalanya saya juga menyelak beberapa majalah HD serta melayari beberapa laman media sosial mengenai perihal pengubahsuaian motosikal Harley Davidson yang dilakukan oleh pemilik yang berada di serata dunia.
“Dan sudah tentu pengakhiran yang terbaik adalah momen terindah bagi saya dan rakan-rakan setelah menghasilkan sebuah jentera HD dengan pelbagai modifikasi. Paling tidak saya lupakan ialah kebanyakan pemilik dan peminat HD, mengetahui bahawa jentera ini adalah motosikal milik Bob Iron Head Motor Group,” ujar Bob sambil menyatakan tiada lagi projek modifikasi untuk HD selepas ini sebaliknya membayangkan akan menampilkan modifikasi berbeza pada jentera lain.
Sekilas Fakta
Pemilik : Bob ‘Iron Head MG’
Nama Sebenar : Armizi Alias
Umur : 45 Tahun
Asal : Kemaman, Terengganu
Status : Berkahwin (2 orang cahaya mata)
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pemasaran UiTM, Kuala Terengganu
Pencapaian Bob Iron Head MG
1. Art Of Speed 2017 – ‘Ada Gaya’
2. Port Dickson International Bike Fest 2017 – ‘Art Of Speed Pick’
3. Terengganu International Bike Week vol2 2017 – ‘First Place Open Bagger’
4. Wilayah Internation Motofest 2018 – ‘Best of Bagger’
5. Art Of Speed 2018 – ‘Best of Custom Bagger’
6. Art Of Speed 2019 – ‘Best Paint’
7. KL Bike Week 2019 – Best Bagger & Indonesia Custom Engineering Award.
Model :Road Glide Special
Tahun : 2015
Enjin : 1745 cc
Bahagian Modifikasi :
• 26’ Front Wheel by Extreme Machine USA complete with American Suspension rake/neck
• Arlen Ness Fork Leg
• Tank – Paul Yaffe
• Handlebar – Paul Yaffe
• Handle bar Accessories – Arlen Ness
• Headlamp – Custom Dynamic LED
• Front Signal – Custom Dynamic LED
• Brake Light – Baddad
• Rear Signal – Baddad
• Rocker Cover – Arlen Ness
• Primary Cover – Arlen Ness
• Air Cleaner – Arlen Ness
• ECU Management – Dynojet Power Vision with wide band exhaust sensor
• Front Fender – Baddad
• Floorboards – Arlen Ness
• Rear Pegs – Baddad
• Rear Fender – Baddad
• Seat – Le Pera
• Bagger – Baddad ( Competition Series with Flush Mount Light )
• Front and Rear Suspension – Dirty Air Shock System
• MRI Electric Centre Stand
• Exhaust – Baddad
• Audio – J&M Pro 600watt PowerAmp
• Front Speaker – J&M Pro
• Lower Fairing Speeaker – J&M Pro
• Rear Speaker – J&M Pro
• Garage : Iron Head Garage
• Paintjob : Rolling Ink by Dean Rolling