Sebut sahaja Thailand, semua destinasi menarik di negara jiran itu adalah syurga buat kaki-kaki motor tanahair. Dari budaya, permakanan, pusat pelancongan yang mesra pelawat dan pantai-pantai menawan sudah cukup menambat hati bagi sesiapa yang menjejak kaki ke negara tersebut.
Baru-baru ini, Zontes Malaysia berjaya menjadi tuan rumah Perhimpunan Mega antarabangsa pertamanya di Phuket, Thailand, dengan menghimpunkan pemilik Zontes dari tiga negara atau lebih tepat lagi 100 pemilik Zontes melalui minat bersama untuk menunggang, penerokaan dan persahabatan.

Diadakan dari 22 hingga 25 Januari 2026 lepas, perhimpunan serantau selama empat hari tiga malam itu menghimpunkan lebih 100 penunggang dari Singapura, Malaysia dan Thailand.
Terdahulu, seramai 85 pemilik Zontes dari Malaysia dan Singapura telah memulakan perjalanan rentas sempadan yang pertama seumpamanya dari Jitra, Kedah, ke Phuket, melengkapkan perjalanan sejauh 497 km.
Keesokan harinya (23 Januari), konvoi membabitkan penunggang Malaysia dan Singapura disertai oleh 25 pemilik Zontes dari Thailand ke destinasi Phuket – mengwujudkan satu konvoi 3 Negara sambil mengeratkan hubungan dan persahabatan dikalangan pemilik jenama itu.
KONVOI DIIRINGI PIHAK BERKUASA THAILAND
Menarik sepanjang Konvoi 3 Negara (Singapura, Malaysia, Thailand), mereka mendapat layanan kelas ‘VVIP’ apabila perjalanan mereka diiringi pasukan Polis Thailand bermula dari perjalanan Zontes Experience Centre by Lifestyle Auto ke Phuket termasuk perjalanan santai di bandar-bandar lama sekitar Phuket.
Tidak terhenti di situ sahaja, para penunggang turut menikmati keindahan dengan merentasi Phuket melalui pelbagai laluan di pulau itu, termasuk jalan bukit yang curam, lorong bandar yang sempit dan jalan-jalan pantai di sepanjang perjalanan tersebut.

KONGSI ‘KEGHAIRAHAN’ MENUNGGANG, TEMBUSI TEMBOK SEMPADAN
“Perhimpunan Mega Zontes adalah lebih daripada himpunan yang membabitkan acara antarabangsa,” ujar Goi Seong Keng, Pengurus Pemasaran Eurotech Wheel Distribution Sdn. Bhd.
“Ia adalah pencapaian penting yang mencerminkan visi jangka panjang jenama itu tentang ‘Satu Jenama, Satu Komuniti’.

“Pemilihan destinasi perlancongan Phuket sebagai lokasi Mega Zontes, kerana kami ingin memberi satu pengalaman menunggang dan budaya yang berbeza, serta memupuk perpaduan di kalangan pemilik Zontes dari tiga negara,” ujar Seong Keng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Zontes Malaysia.”















