Mungkin masih belum ramai yang mengetahui tentang motosikal Kove. Boleh dikatakan, ia masih lagi baru yang memulakan operasinya sejak tahun 2017 di China. Pada EICMA 2022 yang lalu, Kove telah mendedahkan beberapa model yang dikatakan bakal di pasarkan di pasaran Eropah. Antara model-model yang didedahkan Kove adalah motor konsep adventure bike, rally machine, enduro dan sportbike. Syarikat tersebut juga mendedahkan secara rasminya motosikal 400RR.
Kove 400RR ‘berdiri’ megah dalam kelasnya yang tersendiri sebagai sebuah sportbike 400cc yang dilengkapi dengan enjin inline 4-silinder. Secara tidak langsung mendahului Team Green iaitu Kawasaki yang masih belum mendedahkan secara rasmi motor yang ditunggu-tunggu iaitu Ninja ZX-4R. Selain itu, Kove 400RR dilancarkan bertujuan untuk pasaran antarabangsa yang dilihat sebagai langkah berani pengeluar China yang baharu sahaja memulakan operasi. Bagaimanapun, motosikal 400RR nampak menarik!
Rekaan Kove 400RR ini tipikal sportbike moden dengan ‘sayap’ di bahagian fairing hadapan. Selain itu, terdapat juga intake duct juga di bahagian fairing hadapan iaitu di antara dua lampu utama. Adakah ia berfungsi atau sekadar gaya? Belum pasti. Tidak seperti model yang dipamerkan di EICMA, Kove tidak didatangkan dengan lengan ayun sisi tunggal yang cantik tetapi lengan ayun dwi-sesi konvensional yang kelihatan seperti aluminium.
Bercerita sudut prestasi pula, Kove 400RR dilengkapi 400cc, dual-overhead camshaft, enjin 4-silinder inline dengan penyejuk cecair dan fuel-injection. Menurut Kove, enjin ini dibuat sendiri dan mampu menghasilkan 67 hp pada 13,500 rpm dan tork 21 lb-ft pada 12,000 rpm. Sportbike ini dilaporkan mempunyai berat hanya 158 kg dengan kelajuan tertinggi 220 km per jam. Namun begitu, Kove masih belum mendedahkan lagi harga atau tarikh bila ia berada di pasaran. Tunggu!