Setelah dua tahun sejak pandemik mula melanda dunia, akhirnya sambutan Aidilfitri kembali meriah. Malah, lebih meriah berbanding sebelum pandemik. Warga kota kembali ke kampung halaman masing-masing tanpa mengira betapa sesaknya jalan raya menuju ke destinasi masing-masing. Tambahan pula, raya mengejut yang awal sehari dan tidak diduga hampir seluruh rakyat Malaysia.
Kemeriahan sambutan hari raya Aidilfitri selepas pandemik dan di kala fasa endemik ini turut diraikan oleh KW Motorsport yang mengadakan majlis rumah terbuka pada hari raya keempat yang lalu iaitu pada 5 Mei lalu di Chengkau, Rembau di Negeri Sembilan.
Rumah terbuka ini menerima kunjungan lebih 200 orang tetamu yang turut dihadiri CEO KW, Tuan Alan serta dimeriahkan. Majlis bertambah meriah dengan kehadiran para pelumba motor, grup-grup motor dan juga sanak-saudara yang berkunjung ke rumah pengurus program KW Motorsport.
Majlis rumah terbuka ini bermula dari 10.00 pagi dan berlanjutan sehingga pukul 7.00 malam. Pada sebelah petang, para pengunjung dihiburkan dengan acara karaoke. Para pengunjung telah disajikan dengan hidangan yang cukup sederhana tetapi menyelerakan seperti mihun sup, mi sup, nasi himpit dan juga biskut serta kuih-kuih raya. Para pengunjung juga menerima duit raya, bagi meneruskan tradisi dan semangat Aidilfitri dalam kalangan masyarakat Malaysia.