Enduroland Adventure Penang mula dikenali dalam kalangan rakan biker yang gemar sukan lasak off-road selepas beberapa program latihan berlangsung di Padang Ibu, Bukit Mertajam. Pada 14 hingga 16 Mei lalu telah berlangsung program Touratech – Enduroland : Route to Albania Challenge 2022 dan Touratech – Enduroland ; Off-Road Level 1 Training dengan jayanya bertempat di lokasi yang sama dan disertai 50 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia dan Thailand.
Program yang julung kali dianjurkan ini merupakan kerjasama antara Touratech Malaysia (Route 77), Touratech Singapura (Route 55) dan Enduroland Adventure Penang. Program ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada semua peserta dan penonton yang hadir
Program dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pada 14 Mei dengan Off-Road Challenge Coaching yang dikendalikan oleh BMW (llA) Certified Instructor -Mr Tommy Lee dari Singapore dan Dr. Zulkifli Zainal Abidin dari Enduroland Adventure Penang. Manakala program Route to Albania Challenge diadakan pada 15 Mei untuk para peserta yang menyertai Off-Road Challenge Coaching.
Jumlah keseluruhan hadiah dan cabutan bertuah dianggarkan bernilai lebih kurang RM15,000.00 termasuk 2 unit Touratech Aventuro Sport Helmet untuk pemenang pertama dan kedua. Pemenang pertama ialah Capt Andy – FB link, tempat kedua Pok Deng-FB Link dan tempat ketiga Fauzi Din – FB link.
Program diteruskan lagi pada 16 Mei dengan acara Level 1 Off-Road Training yang disertai seramai 12 orang penunggang motosikal berkuasa besar (adventure) pelbagai jenama termasuk Harley Davidson, BMW, Triumph dan KTM untuk mempelajari cara dan teknik pengendalian tunggangan “Off-Road” dengan betul dan selamat.
Pihak Enduroland Adventure Penang mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penaja, peserta dan penganjur yang bersama-sama menjayakan program ini. Terutamanya kepada ahli Enduroland Touratech Malaysia dan Touratech Singapura. Diharapkan program seperti ini akan dianjurkan lagi dalam tahun ini.