Pembuat kereta berprestasi tinggi, Caterham Group mengetengahkan DNA perlumbaan kepada jentera dua roda buat pertama kalinya apabila melancarkan divisyen motosikal, Caterham Bikes pada acara International Motorcycle Exhibition (EICMA) di Milan, beberapa tahun yang lalu. Divisyen tersebut menyertai jabatan-jabatan lain seperti Caterham F1 Team, Caterham Racing (GP2), Caterham Teknologi & Inovasi, Caterham Composites dan Caterham Moto Racing Team. Divisyen tersebut diketuai oleh Al-Ishsal Ishak selaku Ketua Pegawai Eksekutif.
Penubuhan Caterham Bikes dilihat sebagai satu proses normal selepas Caterham Cars berpindah milik kepada Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun pada April 2011. Sebagai salam perkenalan, Caterham Bikes mempamerkan tiga buah motosikal dan basikal konsep yang dilihat memiliki reka bentuk jauh daripada rekaan konvensional. Tiga produk prototaip itu dikenali sebagai Brutus 750, Classic E-Bike dan Carbon E-Bike.
Brutus 750 disifatkan sebagai sebuah SUV untuk motosikal. Ia nampak ganas tetapi sebenarnya mudah untuk dikendalikan. Jentera ini boleh beroperasi sebagai sebuah street bike, motosikal off-road atau berfungsi sebagai snow mobile (selepas diubahsuai dalam tempoh kurang empat jam). Transformasi ini boleh dilakukan dengan kit aftermarket atau hanya menukar tayar mengikut kesesuaian.
Brutus didakwa mampu menawarkan tunggangan yang fleksibel berikutan penggunaan enjin silinder tunggal bersesaran 750cc dan dipadankan dengan transmisi automatik. Pendek kata, ia menyediakan keseronokan tunggangan sebuah motosikal, tetapi mudah dikendalikan seperti sebuah skuter.
Sama seperti namanya, Classic E-Bike membawakan nilai dan rekaan klasik yang kental. Ia dibina berdasarkan kepada rekaan motosikal zaman emas Britain iaitu sekitar tahun 1920-an. Jika difikirkan kembali, zaman vintaj membuktikan bahawa motosikal Britain adalah yang terbaik pada waktu itu. Reka bentuknya ringkas, garis-garis yang elegan bersama warna perlumbaan Britain.
Classic E-Bike memberikan anda penampilan tradisional. Namun, ia dibina menggunakan material termaju. Rangkaian kuasa elektrik membolehkannya bergerak sejauh 40 hingga 80km. Jika ditunggang di negara Kesatuan Eropah, lesen tidak diperlukan.
Ketua Pereka Caterham Bikes, Alessandro Tartarini memanggil motosikal ini sebagai kenderaan gabungan di antara baru dan lama, kemudian membentuk tradisi masa depan. Classic E-Bike dikuasakan oleh motor sifar emisi. Garis-garis pada tubuh Caterham Classic E-Bike tidak mengorbankan aspek kefungsiannya. Kenderaan dua roda ini dibina menggunakan kerangka aluminium. Bar pemegang yang dibalut kulit pula disambungkan dengan brek cakera pada roda hadapan. Gear tiga kelajuan Shimano menawarkan pecutan yang lancar. Sementara ruang enjin yang direka agar kelihatan seperti enjin V-twin klasik menempatkan motor berkuasa 250 watt.
Carbon E-Bike pula merupakan sebuah basikal elektrik premium yang diinspirasikan daripada teknologi F1. Tartarini telah menggabungkan DNA unik Caterham untuk menghasilkan sebuah basikal elektrik yang futuristik, ergonomik dan selamat ditunggang. Carbon E-Bike digerakkan oleh motor berkuasa 250 Watt yang disambungkan dengan gear Shimano Nexus lapan kelajuan. Setiap nisbah gear ditala untuk pecutan yang optimum.
Kerangkanya pula dibina menggunakan karbon aluminium modular. Menerusi teknologi ergonomik fleksibel dan tiga saiz kerangka berbeza, basikal ini boleh digunakan oleh semua orang. Mahu tampil bergaya, basikal ini dilengkapi ‘papan pemuka’ LED yang memaparkan maklumat seperti status bateri, speedometer, trip meter dan jarak yang boleh dicapai dengan baki tenaga bateri.
Carbon E-Bike menggunakan rim aluminium yang kukuh dan ringan. Sementara tugas memberhentikan basikal ini diserahkan kepada sepasang brek cakera pada roda hadapan dan belakang. Semua model itu bakal dilancarkan pada tahun depan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan Caterham Group menerusi kerjasama pintar dengan pengusaha motosikal terbaik di Eropah dan Asia.
Brutus 750
Spesifikasi
Enjin : 750cc, siliner tunggal, sistem penyejukan cecair, DOHC, 4 injap
Gerek x Lejang : 106mm x 85mm
Nisbah Mampatan : 10:01
Sistem Penghantaran
Bahan Api : Siemens Fuel Injection
Kapasiti Tangki : 10 liter
Sistem Penghidup : Elektrik
Transmisi : Continuous Variable Transmission (CVT)
Final Drive : Chain
Emisi : Euro 3
Classic E-Bike
Spesifikasi
Kerangka : Aluminium
Brek Hadapan : Brek Cakera
Brek Belakang : Brek Roller
Bar Hendal : Aluminium
Gear : Shimano Nexus 3 Kelajuan
Motor : 36 Volt, 250 watt, motor brushless dengan pengesan tork
Bateri : Bateri lithium Panasonic 36 Volt 12AH dengan pilihan untuk tambahan pek bateri kedua
Papan Pemuka : Papan pemuka LED dengan status bateri, speedometer, trip meter dan jarak
Roda : Rim aluminium dengan jejari tahan karat
Tayar : 26 x 4.00
Dimensi : L 210 X W 69 X H 98 (cm)
Ketinggian tempat duduk : 90cm boleh laras (3 posisi)
Carbon E-Bike
Spesifikasi
Kerangka : Karbon / Aluminium hadir dalam 3 saiz
Brek Hadapan : Brek cakera
Brek Belakang : Brek cakera
Gear : Shimano Nexus 8 kelajuan
Motor : Bateri lithium 36 Volt, 250 watt, brushless
Bateri : Panasonic 36 Volt 12AH
Papan Pemuka : Papan pemuka LED dengan status bateri, speedometer, trip meter dan jarak
Roda : Rim aluminium dengan jejari tahan karat
Tayar : 26 x 4.8 inci
Dimensi : L 216 X W 55 X H 98 (cm)
Ketinggian tempat duduk : boleh laras 3 posisi
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar 2