Kojeq atau Hishamuddin Md Rashid bukan lagi satu nama asing dalam dunia permotoran dua roda di Malaysia. Duta dan jurucakap untuk jenama Koyoko ini pernah menyempurnakan Ride Solo Motor Klasik Jelajah Semenanjung Malaysia buat kali pertama pada tahun 2016 yang lalu dengan menggunakan motosikal Honda S90 keluaran tahun 1974.
Pengembaraan jelajah solo ini dimulakan pada 1 Disember lalu di pejabat Koyoko yang berlokasi di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak Pulau Pinang. Perjalanan sejauh 2000km ini merentasi sebanyak 12 buah negeri di Semenanjung Malaysia sebelum ditamatkan di Dataran Warisan di Taiping pada 8 Disember.
Berbanding misi pertama, Kojeq terpaksa berhadapan beberapa cabaran termasuk cuaca ekstrem dan terlibat dalam kemalangan akibat kerosakan dialami jentera yang digunakan untuk menyelesaikan misi kali ini. Namun begitu, beliau tetap menyempurnakan misi dengan sempurna. Ketibaan beliau diraikan dengan sambutan meriah sekali gus berjaya membuktikan motosikal klasik atau lama mampu menjelajah Malaysia.
Sebagaimana misi terdahulu, misi kali kedua ini pastinya memberikan inspirasi kepada para penunggang motosikal khususnya yang bercita-cita untuk melakukan pengembaraan secara solo mengelilingi Malaysia. Ikuti catatan Kojeq menerusi Ride Solo Motor Klasik Jelajah Semenanjung Malaysia Kali Kedua dibawakan Roadstar yang boleh dijadikan panduan.
Hari Pertama : 1 Disember 2022
Majlis pelepasan diadakan di pejabat Koyoko yang bertempat di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Pengarah JPJ Pulau Pinang, Tuan Adenan Bin Md Isa. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Tuan Shahrul Azhar Bin Mat Dali, pengarah pengurusan Koyoko, En. Alan Chuah, Pengarah Kewangan Koyoko En. BH Teh dan juga Pengarah Pemasaran, En. CP Khor.
Demi memastikan misi berjalan lancar, jelajah kali ini turut disertai seorang mekanik merangkap pemandu pacuan 4 x 4 sebagai pengiring sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan serta jurugambar majalah Roadstar. Perjalanan hari pertama yang dirancang bermula dari pejabat Koyoko ini menuju Senawang di Negeri Sembilan merupakan jarak perjalanan paling jauh dalam misi ini.
Pelepasan dilakukan pada pukul 11.30 pagi oleh Pengarah JPJ Pulau Pinang. Perjalanan hari pertama melalui Lebuhraya Utara Selatan merentasi negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Pengembaraan berjalan lancar diawal-awalnya sehingga ke Sungai Perak di mana cabaran bermula di mana Kojeq dan pengiring misi terpaksa menempuh cuaca buruk. Hujan mengiringi perjalanan yang adakalanya turun dengan lebat sehingga ke Kuala Lumpur.
Namun begitu, perjalanan hari pertama tetap berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit masalah pada shaft tayar depan motosikal. Sebaik tiba di Ulu Bernam, Kojeg yang diiringi pasukan pengiring terpaksa keluar dari lebuh raya untuk mencari shaft tayar depan dan perjalanan diteruskan semula sebaik sahaja barang yang dicari ditemui. Keadaan semakin gelap dan mengikut perancangan, misi hanya berjalan pada waktu siang. Disebabkan kelewatan di permulaan perjalanan, pengembaraan terpaksa diteruskan ke Senawang dengan berhati-hati.
Perjalanan berhenti seketika sebaik memasuki Kuala Lumpur untuk merakam kenangan di Dataran Merdeka. Peluang ini digunakan Kojeq dan pasukan pengiring untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Senawang. Pada pukul 10.00 malam, Kojeq selamat tiba di tol Senawang dan disambut rakan permotoran Senawang iaitu saudara Bob Kapcai yang juga orang dalam dalam dunia permotoran dua roda.
Selesai makan malam, Kojeq dan pasukan pengiring terus menuju ke tempat penginapan untuk bermalam sebelum menyambung misi di hari kedua dari Senawang menuju ke Segamat.
Hari Kedua : 2 Disember
Sebelum bersarapan pagi, masalah shaft tayar depan perlu diselesaikan. Selesai sahaja menggantikan shaft yang dibeli semalam dan bersarapan pagi, pengembaraan diteruskan pula ke Melaka melalui Lebuhraya Utara Selatan. Kemudian, keluar dari lebuh raya melalui Simpang Ampat Melaka menuju pula ke Tampin menyusuri jalan-jalan kampung sehingga Gemencheh.
Perjalanan hari kedua lebih tertumpu di jalan-jalan kampung sekali gus memberikan peluang menikmati keindahan suasana kampung sepanjang perjalanan menuju ke Segamat, Johor. Setiap satu jam, perjalanan akan dihentikan untuk merehatkan badan serta mengisi minyak motor. Perjalanan dari Gemecheh tadi pula diteruskan ke Gemas yang diiringi cuaca baik.
Sekitar pukul 4.30 petang, Kojeq selamat tiba di Segamat dan mengambil keputusan untuk menukar minyak enjin motor. Selepas selesai menukar minyak enjin, perjalanan diteruskan menuju ke tempat peranginan untuk berehat. Pada sebelah malamnya, bertemu dengan seorang rakan permotoran yang ada di Segamat ini.
Hari Ketiga : 3 Disember
Perjalanan hari ketiga mengikut perancangan bermula dari Segamat ke Kuantan menyusuri jalan Segamat-Gambang tetapi memasuki Bandar Diraja Pekan terus ke Kuantan. Selepas bersarapan, perjalanan dimulakan menuju ke Pekan, Pahang. Berbeza dengan hari sebelumnya, perjalanan hari ketiga ini agak mencabar dengan banyak kenderaan berat menggunakan jalan yang sama, Kojeq terpaksa menunggang dengan lebih berhati-hati.
Pengembaraan berhenti seketika di salah sebuah stesen minyak dalam perjalanan untuk mengedarkan pelekat Ride Solo serta risalah kempen Keselamatan Jalan Raya kepada satu kumpulan motosikal yang sedang berkonvoi ke Kuantan. Seterusnya, berhenti makan tengah hari dan berehat sebentar di simpang Felda Chini sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Pekan untuk bergambar dan melihat keindahan Bandar Diraja ini.
Perjalanan hari ketiga juga berjalan lancar dengan diiringi cuaca amat baik. Kojeq dan pengiring tiba di bandar Kuantan lebih kurang pukul 5.30 petang. Setelah selesai merakam gambar tempat-tempat menarik, perjalanan diteruskan ke tempat penginapan yang berlokasi di Bandar Indera Mahkota.
Hari Keempat : 4 Disember 2022
Perjalanan hari keempat dari Kuantan menuju ke Kuala Terengganu melalui jalan pantai. Selepas sahaja selesai bersarapan pagi di Cherating, perjalanan diteruskan menerusi jalan Kemaman-Paka-Dungun dan seterusnya ke Kuala Terengganu. Perjalanan menyusuri pantai begitu menarik dengan pemandangan panorama pantai yang benar-benar menenangkan.
Lebih kurang pukul 5.30 petang, Kojeq dan pengiring selamat tiba di Kuala Terengganu dengan selamat. Cuaca yang begitu menarik memang sangat membantu melancarkan lagi perjalanan. Di Kuala Terengganu, Kojeq menginap di Pantai Batu Buruk. Berehat sebentar sebelum keluar makan malam yang ditaja rakan permotoran Kuala Terengganu.
Selesai makan, perut kenyang mata pun layu yang menandakan sudah tiba masa untuk tidur setelah letih seharian dan merehatkan badan sebelum menyambung semula pengembaraan di hari yang kelima.
Hari Kelima : 5 Disember 2022
Pada hari kelima, perjalanan diteruskan dari Kuala Terengganu menuju Kota Bharu melalui jalan pantai. Perjalanan dimulakan selepas selesai bersarapan pagi di Ibu Pejabat JPJ Terengganu. Pengarah JPJ Terengganu, Tuan Zulkarnain Bin Yasin telah sudi melepaskan Ride Solo Motor Klasik Jelajah Semenanjung di hadapan Dataran JPJ Terengganu yang turut disertai pegawai-pegawai kanan JPJ Terengganu.
Lebih kurang pukul 10.00 pagi, perjalanan hari kelima dimulakan menuju ke Kota Bharu menerusi Seberang Takir, Setiu, Besut seterusnya Daerah Bachok, Kelantan. Setibanya di Tok Bali, hujan turun dengan lebat. Di Tok Bali, seramai 20 penunggang motosikal klasik dari Kelantan telah sedia menunggu. Mereka terdiri dari ke kelab Kelantan Custom Rare (KCR) bagi mengiringi Ride Solo sehingga ke Kota Bharu.
Perjalanan diiringi dengan hujan sehingga tiba di pekan Kota Bharu. Sebaik tiba, sesi bergambar bersama ahli-ahli KCR dimulakan untuk dirakam sebagai kenangan. Seterusnya, pengembaraan Ride Solo bergerak pula menuju ke tempat penginapan untuk berehat. Pada sebelah malam, acara beramah mesra bersama ahli-ahli KCR diadakan sebelum bersedia untuk hari seterusnya, dari Kota Bharu ke Pengkalan Hulu Perak.
Hari Keenam : 6 Disember
Perjalanan dimulakan di Pejabat Pelancongan Negeri Kelantan yang telah dilepaskan oleh Tuan Mohd Aidil Afizie Bin Daud, Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni Dan Budaya Kelantan (MOTAC). Bermula dari Kota Bharu, pengembaraan melalui jalan ke Rantau Panjang dan seterusnya ke Jeli. Bermula dari Jeli, perjalanan menempuhi cabaran menyusuri Lebuh Raya Timur Barat ke Grik yang menguji ketahanan mental serta fizikal.
Keadaan jalan kurang memuaskan dan selepas Tasik Banding, terdapat kerosakan pada motosikal yang menyebabkan Kojeq hampir kemalangan. Mujur Kojeq dapat mengawal keadaan motosikal. Kali ini, shaft lengan pada arm motosikal telah tercabut dan diselesaikan secepat mungkin oleh mekanik pengiring sementara tiba ke Pengkalan Hulu.
Setibanya di Grik, kumpulan motosikal berkuasa tinggi dari Pengkalan Hulu sudah sedia menunggu untuk mengiringi Kojeq ke Pengkalan Hulu. Sebaik tiba di Pengkalan Hulu, masalah shaft lengan arm segera diselesaikan dengan menukar yang baru. Bukan itu sahaja, minyak enjin juga turut ditukar. Kemudian, Kojeq dan pengiring menginap di Kroh Hot Spring yang memang sempoi dengan chalet dan juga kolam air panas.
Hari Ketujuh : 7 Disember 2022
Perjalanan hari ketujuh dari Pengkalan Hulu ke Perlis melalui Baling-Sik-Pendang-Jitra-Kodiang menuju ke Kangar. Namun, sebelum perjalanan dimulakan masalah pula yang datang. Tayar belakang pancit dan perlu diuruskan terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran perjalanan.
Perjalanan dimulakan di Pejabat Daerah & Tanah Pengkalan Hulu dengan acara pelepasan ‘flag-off’ yang disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pegawai Daerah En. Safuan Bin Saleh sebagai tanda sokongan. Berlepas dari Pengkalan Hulu menuju pekan Baling melalui Parit Panjang ke Sik, Kedah.
Setibanya di Sik, tayar belakang motosikal bocor sekali lagi menjadikan ia kali kedua untuk hari kedua terakhir misi pengembaraan Ride Solo ini. Bagi memastikan kelancaran perjalanan, tiub dalam terpaksa ditukar serta meneruskan pengembaraan ke Pendang dan seterusnya ke Jitra.
Manusia hanya mampu merancang, tayar belakang sekali lagi bocor sebaik sahaja tiba di pekan Kodiang buat kali yang ketiga. Setelah berbincang dengan mekanik, keputusan dibuat untuk menukar tayar luar sekali. Sebaik tiba di sempadan Kedah, ahli-ahli motosikal Klasik Perlis menyambut dan mengiringi Kojeq ke Kangar Perlis menuju ke Pejabat Tanah Dan Galian Perlis selepas selesai menukar tayar motosikal.
Ketibaan Kojeq dan barisan pengiring telah disambut kakitangan serta Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian Perlis, Tuan Ismasuhaimi Bin Shariff yang seterusnya dihidangkan dengan jamuan makan sekali gus memberi ruang untuk berehat seketika. Selepas selesai jamuan, acara pelepasan telah disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian.
Seterusnya, Kojeq dan pengiring bergerak pula ke tempat penginapan untuk malam terakhir di Kuala Kedah dengan menyusuri jalan pantai. Jurugambar yang menyertai Ride Solo telah sudi menaja penginapan untuk malam ketujuh di Kuala Kedah ini.
Hari Kelapan : 8 Disember 2022
Kuala Kedah merupakan hari terakhir sebelum menamatkan misi Ride Solo di Dataran Warisan Taiping. Selepas bersarapan, perjalanan diteruskan dengan menyusuri jalan-jalan kampung menuju ke Sungai Petani. Seterusnya memasuki Lebuhraya Utara Selatan ke Taiping dan selamat tiba di Plaza Tol Kemunting sekitar pukul 2.30 petang disambut kelab motosikal berkuasa tinggi Taiping serta diiringi pihak polis trafik menuju ke Dataran Warisan.
Hadir sama di Dastaran Warisan bagi menyambut ketibaan Kojeq dalam misi Ride Solo adalah Setiausaha Perbandaran Taiping (MPT), En. Kamarulzaman Bin Kamari, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), LMS, En. Zairul Akmal Kassim, Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Tuan Mir Khairol Hafizal Bin Mir Idris serta Pengarah Pemasaran Koyoko, En. CP Khor.
Kojeq yang ditemani pengiringnya selamat tiba di Dataran Warisan sekitar pukul 3.00 petang dengan mencatatkan perjalanan sejauh 2000km selama lapan hari. Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan misi Ride Solo Motor Klasik Jelajah Semenanjung 2022. Tahniah Kojeq, tahniah semua!