Setelah sekian lama merancang, akhirnya penulis berjaya melaksanakan satu sesi bergambar bersama Kroni 4646 dengan jayanya. Sebelum ini, pelbagai masalah yang menghalang rancangan ini seperti tiada hari yang sesuai dan juga ahli-ahli Kroni tidak dapat dikumpulkan. Hasil perbincangan dengan bos Kroni 4646, kata putus dan tarikh yang sesuai pun ditetapkan iaitu pada 24 November yang lalu.
Keunikan Kroni 4646
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa Kroni 4656? Apa yang istimewa pada Kroni 4646 sehingga membuatkan penulis sanggup mengatur tarikh semata-mata untuk merakam gambar mereka? Sebenarnya, keunikan Kroni 4646 ini terletak pada nombor plat motornya yang berakhir dengan 4646. Sebanyak 20 buah motor mempunyai nombor plat begini dan selebihnya, mempunyai plat 2 angka 46 atau nombor tidak tersusun tetapi tetap bersangkut paut dengan 4646.
Semuanya berlaku secara tidak sengaja dari boss Kroni 4646 yang merupakan seorang peniaga di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Khairul Azhar atau mesra dengan panggilan Along. Pemilik PYMC Station Motorsport ini membeli motosikal Ysuku dengan nombor plat 46 pada tahun 2016. Motor kedua dengan nombor plat 4646 dibeli pekerja beliau, diikuti beberapa lagi yang membeli nombor plat 4646.
Setakat hari ini, Kroni 4646 dianggotai serami 30 orang ahli dan untuk menjadi ahli, tidak semestinya ada motosikal dengan nombor plat 4646 atau motosikal Ysuku. Model lain juga dialu-alukan untuk menyertai Kroni 4646. Bagi aktiviti Ride Santai yang diaturkan untuk sesi bergambar ini, seramai 20 orang ahli telah berjaya dikumpulkan.
Disediakan oleh : Azhar Taib (Pak Art)