Jentera pertama, tidak ubah seperti cinta hati pertama. Segala pengalaman yang indah-indah, membuatkan ia sentiasa menjadi yang paling hebat dan sukar untuk dilupakan. Tidak kurang juga, menjadi perbandingan untuk jentera-jentera yang bakal menyusul kelak yang pastinya sukar buat Shamin. Ikuti sebuah lagi perkongsian menarik menerusi segmen Santai Rantai yang dibawakan oleh Evolube.
Bagi Shamin yang baru sahaja berusia 31 tahun, CMC XY400 400cc ini menawan hati dengan penampilan klasiknya. Tambahan pula, ia dirasakan sangat sesuai dengan jiwanya, golongan di pertengahan yang tidak lagi muda tetapi tidak juga tua. Motosikal cafe racer ini juga sudah sampai ke salah satu destinasi wajib untuk para peminat motosikal. Di mana lagi kalau bukan, Genting Highlands.
Hanya Menjalankan Tugas
Ditanyakan pendapat beliau tentang beberapa isu kontroversi dalam kalangan penunggang motosikal yang melibatkan pihak berkuasa baru-baru ini termasuk sekatan jalan dan sita motosikal.
Pendapat peribadi beliau, pihak berkuasa hanya menjalankan tugas. Selaku pengguna, penunggang (motosikal), mahupun pemandu kereta. Kalau tidak buat sebarang kesalahan, cukai jalan sentiasa diperbaharui pada masanya dan ada lesen memandu, tidak akan menjadi sebarang masalah.
“Penguatkuasa, kalau setakat ‘roadtax’ (cukai jalan) mati baru sebulan, mereka boleh faham (bertimbang rasa). Dengan kita punya ekonomi (negara) tak berapa nak ngam (semakin mencabar). Mereka pun faham,” ujar Shamin.
Bercerita tentang pengalaman atau pahit manis bermain motosikal, Shamin bersyukur kerana setakat hari ini, belum lagi terlibat dalam apa-apa kecelakaan atau kemalangan. Namun, beliau ada cerita yang agak menarik tentang pengalaman menunggang motosikal dalam jarak jauh menggunakan CMC XY400 miliknya.
“Yang pegang enjin, 2 skru je. Memang bergegar,” kongsi Shamin.
Semasa perjalanan balik dari Genting, memang segala anggota badan terutamanya bahagian bawah macam bergegar-gegar. Namun, menunggung motosikal CMC XY400 ini memang benar-benar menyeronokkan untuk penunggangan jarak jauh.
“Nak kata laju? Dia (CMC XY400) agak laju. Nak kata dia slow (perlahan), dia bukan kategori slow,” tambah Shamin lagi bersungguh-sungguh.
Kalau menunggang di lebuh raya dengan motosikal CMC XY400 ini khususnya bersebelahan dengan lori, anda tidak perlu rasa takut kerana ia berkemampuan memotong bila-bila masa.
Mengapa Pilih Motosikal Cafe Racer?
Tidak seperti peminat atau penunggang motosikal lain, Shamin kurang gemar motosikal seperti Y15. Apabila Shamin membuat tinjauan sendiri di pasaran sebelum membeli, beliau mendapati rekaan dan tawaran serta harga yang ditawarkan amat berpatutan. Tambahan pula, ia sebuah motosikal 400cc yang semestinya selesa ditunggang membuatkan Shamin terus membelinya.
Bagi makluman, CMC XY400 ini merupakan motosikal pertama Shamin dan dibiarkan dalam keadaan standard. Beliau hanya melakukan modifikasi ringan iaitu memotong fender belakang itupun kerana ia agak panjang dan lampu brek belakang pula agak besar.
Kata-Kata Dari Penunggang Cafe Racer
Kalau nak pilih motor dan minat motosikal seperti ini tapi mungkin disebabkan jenama, membuatkan anda menganggap ia tidak sebesar jenama-jenama lain di pasaran. Nasihat Shamin, “cuba dulu, baru korang tahu pergi dia macam mana motor ni!”