Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-55, Agrobank telah menganjurkan program Kembara Kasih Asnaf baru-baru ini. Program ini dilaksanakan melalui jelajah motosikal pelbagai kuasa dan berjaya menarik penyertaan 30 kakitangan Agrobank serta lima wakil daripada MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB), yang juga rakan strategik dalam penganjuran acara ini.
Jelajah Kembara Asnaf ini melibatkan perjalanan sejauh 1,600 kilometer dengan misi menyampaikan sumbangan zakat kepada hampir 200 penerima asnaf yang dikenal pasti. Jelajah tersebut melibatkan beberapa negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan berakhir di Perak. Menurut Datuk Tengku Ahmad Badli Shah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, sumbangan zakat kali ini berjumlah RM30,000.
Sepanjang jelajah, peserta-peserta program telah menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan penuh dedikasi. Walaupun perlu meredah perjalanan sejauh 300 kilometer setiap hari, mereka tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan dan terus komited dalam membantu golongan asnaf.
Cabaran cuaca dan dugaan sepanjang perjalanan tidak melemahkan semangat peserta. Sebaliknya, mereka mempamerkan semangat setiakawan dan kerjasama yang tinggi, memastikan setiap destinasi dituju berjalan lancar dan sumbangan disampaikan dengan penuh amanah.