Kelantan menerima sebuah litar drag pertama yang terletak di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok sekali gus merancakkan lagi aktiviti sukan permotoran di negeri ini. Penganjuran sulung di litar ini berjaya menghimpunkan seramai 30 ribu pengunjung hadir ke acara drag race pertama yang telah berlangsung pada 6 hingga 8 November lepas.
Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Arham Abdullah, berkata projek berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama antara Koperasi Universiti Malaysia Kelantan Berhad dan Drag Dolphin Club (DDC) Team. Beliau berkata pembinaan litar itu menjadi pemangkin kepada penerokaan baharu dalam ekosistem sukan permotoran, inovasi dan keusahawanan di UMK serta di Kelantan.

“Inisiatif itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat automotif, tetapi juga menjadikan kawasan UMK sebagai tumpuan baharu aktiviti komuniti dan pelajar, dengan lebih 30,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjuran.
“UMK memperuntukkan kawasan seluas lima ekar sebagai tapak permulaan dan merancang memperluas lagi pembangunan itu pada masa depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Arham berkata, trek sepanjang 500 meter itu menyediakan ruang untuk aktiviti drag, drift, serta kawasan jualan dan pertemuan. Kemudahan tersebut akan ditambah baik secara berperingkat bagi menjamin keselesaan dan keselamatan peserta.

Beliau turut memaklumkan, UMK merancang untuk bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan GiatMARA bagi menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat latihan berasaskan TVET dalam bidang automotif dan sukan bermotor.
Sementara itu, Presiden DDC Team, Azwan Hafiz Ibrahim, berkata acara yang berlangsung dari 6 hingga 8 November ini merupakan penganjuran pertama di litar baharu UMK dengan penyertaan lebih 180 kereta dan 140 motosikal pelbagai kategori.
Katanya, antara kategori kereta ialah turbo, Continental dan 4×4, manakala bagi motosikal melibatkan kategori 125cc, 150cc dan RX-Z.

Azwan berkata, penganjuran Drag Day kali ini menggantikan acara nyanyian dan kebudayaan sempena Pesko 2025, dan litar berkenaan telah diperiksa oleh pihak polis serta Kementerian Belia dan Sukan.
Beliau berharap kemudahan di litar itu dapat ditambah baik dengan penyediaan tempat duduk penonton, surau dan kemudahan sokongan lain. Tambahnya. Kelantan mempunyai potensi besar sebagai hab sukan permotoran Pantai Timur, kerana negeri ini mencatatkan penyertaan peminat drag tertinggi di Malaysia.
Sumber: Kelantan Daily/Bernama















