Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan melaksanakan program penilaian motosikal atau Malaysia Motorcycle Assessment Program (MyMAP) iaitu penarafan bintang kepada motosikal yang dikeluarkan di negara ini.
Program itu membabitkan penarafan bermula satu bintang sehingga maksimum lima bintang bergantung kepada aspek yang dinilai.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Zulhaidi Mohd Jawi berkata, MyMAP dianggap sebagai titik permulaan untuk meningkatkan tahap keselamatan motosikal khususnya melalui kaedah teknikal dan teknologi.
Beliau berkata, selaras dengan Visi Automotif Nasional (NAV) dan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), program itu akan dilancarkan hujung bulan ini.
“MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan ASEAN NCAP, yang terlebih dahulu dimulakan Malaysia Vehicle Assessment Program (MyVAP). ASEAN NCAP kini menjadi satu program yang dapat meningkatkan kesedaran pengguna dan seterusnya mendorong pasaran kenderaan penumpang yang lebih selamat di rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulhaidi berkata, MyMAP akan dinilai melalui empat kriteria atau komponen utama iaitu pematuhan kepada peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Eropah (UNECE), Comformity of Production (COP), teknologi ciri keselamatan dan program sokongan.
“Salah satu ciri yang ditekankan dalam teknologi ciri keselamatan adalah sistem brek. Sebagai permulaan, program ini akan dijalankan secara sukarela dan terhad kepada motosikal berkapasiti 250cc dan ke bawah. Perincian terhadap kerangka utama akan dimaklumkan semasa pelancaran program ini nanti,” katanya.
Tambahnya sebagai rujukan, kajian simulasi dijalankan ke atas beberapa jenama motosikal yang popular di Malaysia dan hasilnya mendapati beberapa model berjaya mendapat penarafan lima bintang.
“Perkara ini menunjukkan potensi pengeluar untuk menyediakan pengguna dengan pilihan yang lebih baik dari segi keselamatan seterusnya menghasilkan motosikal yang lebih selamat untuk ditunggang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, bagi merealisasikan program itu, MIROS dan MARii melaksanakan siri rundingan dan pembabitan bersama pengeluar motosikal dan mendapat maklum balas yang positif berhubung hasrat MIROS untuk melaksanakan program berkenaan.
Beliau berkata, pelancaran MyMAP menjadi titik permulaan bagi usaha sama yang terhasil melalui memorandum persefahaman (MoU) antara MARii dan MIROS pada Januari lepas.
Semua pengeluar motosikal di Malaysia dijemput menyertai dan memberi sokongan padu terhadap program penarafan itu ke arah penghasilan kenderaan yang lebih selamat bagi pengguna jalan raya.
Sumber : MyMetro