Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) Bantu Golongan Belia
Selangor memperuntukkan RM2 juta untuk program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bagi membantu golongan belia khususnya kelompok miskin bandar meningkatkan ekonomi diri dengan menjadi penunggang e-hailing terlatih.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program di bawah Majlis Sukan Negeri itu disasarkan memberi manfaat kepada hampir 3,000 belia berumur 17 hingga 30 tahun untuk mendapatkan lesen motosikal kategori B2 dengan subsidi RM350 diperuntukkan bagi setiap individu.
“Sektor e-hailing dilihat menjadi trend khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dan ramai anak muda menyertainya.
“Disebabkan itu, kerajaan negeri menyantuni golongan muda khususnya yang ‘terperangkap’ dengan miskin bandar memanfaatkan program ini sebagai batu loncatan supaya mereka dapat keluar daripada cengkaman kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program RiDE di sini, hari ini.
Amirudin berkata selain menawarkan lesen motosikal, program RiDE juga menyediakan peserta dengan latihan supaya mereka dapat menjadi penunggang e-hailing terlatih dan memenuhi kriteria dikehendaki oleh syarikat pengendali terlibat.
Katanya, permohonan untuk menyertai program RiDE akan dibuka mulai 1 Ogos dan dijangkakan pada hujung tahun ini, inisiatif itu dapat melahirkan penunggang e-hailing terlatih seterusnya membantu meningkatkan ekonomi golongan belia miskin bandar.
Golongan belia yang berminat untuk menerima manfaat program RiDE boleh melayari laman web www.msnselangor.gov.my untuk maklumat berkaitan syarat kelayakan. — BERNAMA