Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, hari ini melancarkan Modenas Ninja 500 dan Modenas Ninja 500 SE untuk pasaran Malaysia. Model baharu ini direka bagi memenuhi keperluan penunggang baharu serta berpengalaman, menawarkan prestasi cemerlang dan teknologi terkini dalam segmen motosikal sukan ringan.
Modenas Ninja 500 dikuasakan oleh enjin selari berkembar 500cc yang baharu, dengan casis ringan berasaskan platform 250cc untuk kawalan lebih lincah dan selesa. Model ini dilengkapi dengan lampu LED, sistem kesambungan telefon pintar, serta ergonomik mesra penunggang. Ia ditawarkan dalam warna Hitam dengan harga RM28,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Bagi mereka yang mahukan teknologi lebih canggih, Modenas Ninja 500 SE hadir dengan tambahan ciri seperti port USB Type-C, sistem kunci tanpa sentuhan KIPASS, serta paparan TFT berwarna penuh untuk keterlihatan lebih baik. Ditawarkan dalam warna Lime Green dan Hitam/Merah, model ini dijual pada harga RM30,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Dengan pelancaran dua model ini, MODENAS terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal sukan di Malaysia, memberikan pilihan terbaik kepada peminat motosikal yang mahukan prestasi, inovasi, dan kebolehpercayaan Kawasaki dalam setiap tunggangan.