Kehangatan saingan Pocket Bike Challenge menjadi antara daya tarikan utama yang memeriahkan Himpunan Bermotor Sempena Karnival Anak Muda Melaka di MITC, Melaka pada 4 hingga 6 September 2026 yang lalu. Dikenali sebagai Legacy04 Melaka Attack 2026, acara ini dianjurkan secara rasmi oleh Pejabat Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Melaka bersama Legacy 04 yang diterajui empat anak jati Melaka iaitu Ahmad Muhalim Umar, Mohd Ibrahim Bin Abu Hasan (Amat Ayam), Muhammad Azzizat bin Zainol, serta Mohamad Arif Bin Mohamad.
Acara khas Pocket Bike Challenge ini dikendalikan secara bersama oleh EA RECREATION LEGACY dengan kerjasama KW Motorsport. Ia dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan dan ruang saingan berkualiti buat peminat jentera bersaiz mini tersebut.
Bagi memastikan setiap jentera yang bertanding kelihatan lebih kemas dan cantik, Pocket Bike Challenge ini mempertandingkan beberapa kategori utama termasuk Best Colour, Best Airbrush, Best Racing Suit, dan Best Team. Saingan menjadi semakin sengit apabila setiap pemenang yang berjaya menduduki kedudukan Top 3 dalam kategori masing-masing secara automatik layak berentap di peringkat akhir Best Of The Best.
Selain kehangatan aksi minibike, himpunan yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi bersama Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh ini turut memuatkan pameran kereta pada hari Sabtu dan motosikal pada hari Ahad, Autoshow Kereta oleh BDS Autoshow Komuniti, Melaka Track Attack oleh P.A.D.A.T, serta cabutan bertuah berhadiahkan sebuah Yamaha RXZ.
Penganjuran Pocket Bike Challenge dan kejayaan Legacy04 Melaka Attack 2026 secara keseluruhannya membuktikan kebolehan anak tempatan mengendalikan acara sukan motor yang padat, berprestij, dan berjaya menarik kehadiran melebihi 30,000 pengunjung dari seluruh negara.