Pasukan TKKR Racing Team bakal memeriahkan lagi industri permotoran negara dengan pengumuman terkini pasukan yang berpangkalan di Seremban, Negeri Sembilan tersebut bercadang menggunakan jentera Benelli untuk musim 2021. Menurut prinsipal pasukan, Bobie Farid, pasukan TKKR akan menurunkan dua pasukan untuk kategori perdana CP150 dalam musim 2021. Pasukan senior akan kekal menggunakan jentera Yamaha, manakala pasukan junior pula akan bersaing dengan jentera Benelli.
“Setelah 27 musim bersaing, kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS masih didominasi Honda dan Yamaha. Dengan percaturan terbaharu ini, pasukan kami berniat untuk merancakkan lagi kadar persaingan dalam kategori perdana itu,” kata Bobie.
Pasukan TKKR Racing Team telah mengambil masa setahun menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan jentera Benelli.
“Buat masa ini, kami akan menggandingkan dua pelumba muda, Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi dan Mohd Faiz Zekri Sabri, dalam pasukan junior CP150. Persaingan musim 2021 jentera Benelli akan ‘turun litar’ buat pertama kali secara rasminya. Oleh itu, kami tidak akan menetapkan sasaran untuk tahun pertama ini kerana kami memerlukan banyak lagi data dari perlumbaan sebenarnya untuk terus memajukan jentera ini,” jelas Bobie.