Setelah menyepi selama setahun, para pelumba superbike Malaysia akhirnya berpeluang kembali ke litar untuk beraksi. Musim baharu Malaysia Superbike Championship (MSBK) tahun 2021 bakal diadakan di Litar Sepang hujung minggu ini bakal menyaksikan penglibatan nama-nama besar dalam dunia lumba motor Malaysia.
Bagi MSBK1000, sudah pastinya menjadi medan tempur di antara Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zaqhwan Zaidi kerana kedua-duanya dikenali antara pelumba superbike terbaik negara. Apa yang lebih menarik, MSBK menyaksikan Khairul Idham Pawi yang kembali memeriahkan persada lumba motosikal dengan menyertai ONEXOX TKKR Racing Team.
Selain itu, pelumba yang bakal membuat penampilan pertama dalam musim GP tahun depan iaitu Mohd Syarifuddin Azman juga akan turun pada bersama ZK Racing Team. Dari pasukan Honda pula, Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Helmi Azman akhirnya berpeluang memulas Honda CBR600RR baru untuk musim ini. Motor ini telah dirasmikan pada tahun 2020 tetapi masih belum sempat beraksi di litar.
Bukan itu sahaja, buat pertama kalinya sepanjang dua tahun ini, para penonton akhirnya kembali mengisi ruang grandstand. Kemasukan adalah percuma tetapi terhad kepada golongan berusia 18 tahun ke atas dan sudah lengkap dua vaksin. Para peminat dan penonton dijangka berpeluang menyaksikan persaingan sengit dalam 3 kelas; MSBK1000, MSBK600 dan MSBK250. Tiga perlumbaan akan diadakan hujung minggu ini secara keseluruhannya.
Menurut pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg berkata bahawa dua tahun ini merupakan cabaran untuk industri lumba motor. Beliau meluahkan rasa syukur dan menanti agar rakan-rakan dari negara luar dapat menyertai perlumbaan ini. Sementara itu, penyertaan Round 1 ini pastinya menjanjikan persaingan yang sengit terutama sekali apabila disertai oleh para pelumba hebat.
Round 1 yang juga pembukaan untuk musim 2021 ini akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dari 15 hingga 17 Oktober ini dan bakal disiarkan oleh Astro Arena.