Sebanyak 22 buah motosikal berkuasa tinggi telah terlibat dalam weekend ride Penang Heritage Tour yang sangat terkenal di Georgetown dan menjadi lokasi tumpuan pengunjung. Diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai kota warisan, bangunan lama ini sering menerima kunjungan bikers. Pada 3 November lalu, salah satu kedai emas yang beroperasi di bangunan ini iaitu Habib Jewel telah menjemput NVOG & Friends bagi memeriahkan sambutan ulang tahun mereka yang ke-60.
Perjalanan dimulakan dari Seberang Jaya seawal jam 10.00 pagi menuju ke pulau sebelum tiba ke destinasi yang berhadapan dengan Masjid Kapitan Keling, sebuah masjid tertua dan penuh bersejarah. Konvoi tiba setelah berlegar-legar di sekitar kawasan Heritage dan melihat begitu ramai pelancong asing yang mengambil kesempatan bergambar dan menyewa basikal yang disediakan di bangunan ini. Para peserta tiba di Habib Jewel yang disambut jamuan ringan dan dibawa ke atas bangunan rumah kedai serta berpeluang melihat galeri pameran di ruang legar. Lebih istimewa lagi, para peserta NVOG & Friends telah menerima cenderamata dari pihak Dato Sri Meer Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Habib Jewel.
Seterusnya, konvoi bergerak ke Teluk Bahang bagi menghadiri Fiesta D’ Teluk Bahang yang diadakan di Dataran Taman Negara. Walaupun hujan sangat lebat hingga ke Batu Ferringhi, perjalanan tetap diteruskan. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan pihak penganjur bagi menarik ramai pengunjung. Konvoi bergerak pulang ke destinasi masing-masing tepat jam 5 petang menerusi jalan Balik Pulau yang juga dikenali sebagai mini 1000 corner di kawasan yang sering menjadi tumpuan bikers di Pulau Pinang.