Konvoi Santai Selepas Kerja, program atau aktiviti yang unik yang diusahakan rakan-rakan sekerja dari Line Maintenance KLIA (LMK) Engineering dan Malaysia Aviation Group (MAG). Diadakan pada 24 Oktober yang lalu, konvoi ini diadakan bertujuan untuk melakukan aktiviti secara santai bersama rakan-rakan, menghilangkan tekanan kerja dan dalam masa yang sama, memburu kedai-kedai atau dipanggil sebagai port dalam kalangan riders di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain itu, aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat memperkukuhkan dan mengeratkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin. Sebanyak 7 buah motosikal dari 100cc sehingga 600cc serta sebuah kereta sokongan telah menyertai konvoi ini. Idea konvoi santai tercetus ketika rakan-rakan ini bersembang serta berborak tentang makanan di negeri-negeri di Malaysia seterusnya, semua sepakat dan setuju untuk menunggang motosikal masing-masing dalam misi memburu port makan!
Konvoi bermula sekitar pukul 8.00 pagi di mana para peserta telah berkumpul terlebih dahulu di Hentian Senawang. Ada para peserta yang datang dari Putrajaya, Bangi, Sepang dan juga Nilai. Buruan pertama atau lokasi pertama konvoi ini ialah Warung Mee Udang Galah Route N9 yang terletak di Pedas. Ternyata lokasi ini sangat berbaloi kerana menu yang dihidangkan memang sedap-sedap belaka.
Seterusnya, para peserta konvoi bergerak pula ke Port Dickson melalui jalan kampung yang memberikan kesempatan untuk melihat suasana kampung yang menyeronokkan. Dalam masa lebih kurang 40 minit, para peserta konvoi tiba di Port Dickson dan berehat menikmati angin laut. Peluang ini digunakan para peserta bergambar sebagai tanda ingatan dan kenangan di pantai yang sering menjadi tumpuan para pelancong samada dalam mahupun luar negara.
Dari sini, para peserta konvoi bergerak menuju ke Restoran Mat Nasi Kambing (MNK) yang masih lagi di Port Dickson. Selesai menjamu selera dan bersolat Zohor, konvoi meneruskan pemburuan ke kedai makan seterusnya di Kodai Hijou Sendayan. Perjalanan dari Port Dickson ke Sendayan diiringi cuaca hujan yang agak lebat. Semua peserta tiba dalam keadaan basah. Selesai minum petang, para peserta konvoi bersurai dan berpecah untuk pulang ke tempat masing-masing.
Walaupun konvoi ini baru pertama kali dan hanya mengambil masa selama sehari, semua peserta yang menyertai aktiviti ini sangat seronok dan juga gembira. Jika diizinkan Allah, program atau aktiviti berkonvoi ini akan diteruskan lagi dan misi memburu port makan di lokasi-lokasi yang lain pula. Semoga aktiviti yang sihat ini akan berterusan dengan jayanya!