Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran memulakan kempen musim 2022 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dengan cemerlang sekali gus meletakkan beliau sebagai juara. Bermula dari petak pertama, Afif tampil dengan persembahan yang mantap dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 14’32.412s
Kemenangan ini bertambah manis apabila rakan sepasukannya, Mohd Izzat Zaidi Salehan turut menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Pelumba yang baru sahaja menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing ini berjaya meninggalkan pesaing terdekatnya dan muncul sebagai naib juara dengan catatan masa 14’32.435s. Di tempat ketiga pula dimenangi oleh pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Haziq Md Fairues.
Sementara itu, dalam kategori CP125, Mohd Hafiza Rofa dan Mohd Syafiq Rasol menghadiahkan kemenangan 1-2 kepada pasukan ONEXOX TKKR Racing dengan catatan masa 11’20.624s dan 11’20.624s masing-masing. 0.072 saat di belakang duo pasukan ONEXOX TKKR Racing, Mohd Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor Racing turut megah di tempat ketiga dengan 11’20.696s.
Dalam kategori Wira KBS pula, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing sekali lagi menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan podium perlumbaan pusingan pertama musim 2022 menerusi Mohd Syamil Amysar Mohd Iffende, Mohd Danish Aiman Zamrul dan Mohd Adam Haikal Jahar.
Musim 2022 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berehat untuk menghormati bulan Ramadan dan Syawal. Pusingan 2 akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak pada 14 dan 15 Mei nanti.