Minat untuk membawa jentera dua roda bukan lagi milik mutlak untuk golongan lelaki saja, kaum Hawa juga sudah ramai mengorak langkah sama dengan menyertai konvoi bermotosikal ataupun melakukan kembara solo saja. Wanita zaman sekarang bukan saja hebat ke dapur malah ke jalan raya pun sama hebatnya.
Perkara tersebut dapat dilihat menerusi penubuhan beberapa kelab motosikal berkuasa besar seperti Harley Davidson, Ducati dan Kawasaki yang penyertaannya terdiri daripada wanita. Tidak dapat dinafikan bahawa telah terdapat banyak kelab motosikal wanita di Malaysia dan kebanyakan kelab-kelab ini sudah berpengalaman dalam penganjuran konvoi seumpamanya.
Begitu juga dengan acara Ladies Trackday yang akan berlangsung hujung bulan ini, Namun istimewanya untuk program Ladies Trackday kali ini, ia membuka peluang kepada penunggang wanita merasai pengalaman untuk meluncur laju di atas trek.
“Untuk acara Ladies Trackday ini, ia julung-julang kali diadakan dan ia dikhaskan untuk pemilik dan penunggang wanita dengan kapasiti jentera di bawah 250cc ke bawah sahaja.
“Kami juga turut menyediakan peralatan menunggang seperti jaket perlumbaan namun ia agak terhad pada satu-satu masa,” ujar Intan Sapinah Adnan yang bertindak selaku jurucakap penganjuran Ladies Trackday hujung Februari ini.
Dikenali dengan kumpulan Senorita bikers yang terdiri dari Intan (Sapinah Adnan) sendiri, Siti Nurhaliza dan Fazura, Ladies Trackday membuka peluang penunggang wanita memperagakan aksi mereka di atas trek.
Bertempat di Litar Elite Speedway, acara yang berlangsung pada 29 Februari bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang akan dikenakan bayaran sebanyak RM150 seorang dan peserta akan mendapat sehelai T-Shirt ekslusif dan makanan (pagi/tengah hari) turut disediakan sepanjang acara berlangsung.
“Objektif kami adalah ingin memberi peluang kepada penunggang wanita merasai keseronokan menunggang di atas litar. Kerana sebelum itu, ramai penunggang wanita yang mahukan kami di Senorita Bikers mengadakan acara sebegini.
“Ladies Trackday juga turut membuka peluang kepada penunggang lelaki tetapi diasingkan dalam kumpulan lelaki sahaja. Namun kami memberi keutamaan kepada pemilik wanita dan mereka diberi masa selama 15 minit sebelum diganti dengan kumpulan lain dan seterusnya,” ujar Intan lagi.
Bagi penunggang wanita diluar sana yang berminat untuk menyertai Ladies Trackday, bolehlah menghubungi Senorita Bikers (Intan 011-10212393) untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin