Pelancaran Adiva AD3-400
Perjalanan seharusnya menyeronokkan dalam apa jua keadaan sekalipun dan bersandarkan itu, Syarikat Adiva mula merealisasikan impian tersebut di awal 1990-an. Sekitar tahun 2004, syarikat yang bermula di Itali ini memperoleh paten atap boleh lipat sekali gus menjadi identiti jenama Adiva. Pada tahun 2008, skuter tiga roda AD3 dengan 2 tayar hadapan dan satu tayar belakang telah dilancarkan. Kini, satu lagi model telah dilancarkan untuk pasaran tempatan menerusi pengedar sahnya di Malaysia, Adiva Distribution (M) Sdn Bhd.
AD3-400 merupakan model jenama Adiva pertama yang diperkenalkan serta dilancarkan untuk pasaran Malaysia yang boleh didapati dari 15 wakil pengedarnya di seluruh negara. Model ini dipercayai mampu memberikan pengalaman baru dan berbeza kepada para penunggang di Malaysia sama ada di bandar mahupun untuk penunggangan jarak jauh. Malah, rekaan serta prestasi cemerlangnya sangat sesuai untuk pekerja pejabat dan juga kaum wanita.
Dilancarkan di hadapan media dalam sebuah majlis yang diadakan pada 24 November lalu di Eurotech Manufacturer di Jitra, Adiva AD3 400 bukan sekadar sebuah skuter yang didatangkan bersama bonet dan bumbung boleh lipat, malah ia turut dilengkapi pelbagai ciri termasuk penghadang angin besar, pengelap cermin dengan jet pencuci cermin, tolok analog berganda, enjin satu silinder, empat injap, OHC, 4 lejang, sejukan cecair dan keseluruhan kuasa dipacu roda belakang menerusi transmisi CVT (constantly variable transmission). Dijual pada pada harga RM38,800 (tidak termasuk cukai jalan)