Masih belum terlambat untuk membicarakan tentang kehebatan anak Malaysia mengharumkan nama negara di persada sukan lumba motor bertaraf antarabangsa. Berlangsung di Litar Antarabangsa Sugo, Md Izzat Zaidi Md Salehan yang berlumba untuk Pitsbike JRT OneWay berjaya muncul sebagai juara dalam kategori Underbone 150cc.
Perlumbaan menyaksikan Md Izzat Zaidi mendahului para pelumba lain di pusingan awal. Boleh dikatakan, ini adalah perlumbaan yang paling sukar dijangka kerana para pelumba bertukar-tukar kedudukan di sepanjang 10 pusingan. Pada pusingan keenam, Wahyu Aji Trilaksana menghadapi kecelakaan apabila terjatuh sekali gus memberikan ruang kepada para pelumba lain.
Md Izzat meneruskan cabaran dan mengekalkan kelajuan untuk berada dalam lima tangga teratas. Namun, peluang muncul di pusingan ketujuh dan kelapan apabila beliau berjaya mendahului semula para pelumba lain tetapi jatuh dua kedudukan ke bawah apabila memasuki pusingan kesembilan.
Persaingan sengit dapat dilihat apabila April King, pelumba dari Filipina muncul mendahului perlumbaan di pusingan terakhir. Impian April King musnah apabila Izzat berjaya memecut laju dan menyudahkan cabaran di kedudukan pertama dengan catatan masa 18’08:432s. April King terpaksa berpuas hati di tempat kedua diikuti rakan sepasukannya, Nazirul Izzat yang juga pelumba Malaysia mewakili Maju Motor Racing Team.