NVOG & Friends, Iring Pasangan Pengantin Baru

Di bawah langit biru Pulau Pinang, kelab permotoran Northern Versys Owners Group (NVOG) & Friends sekali lagi mengukir kenangan persaudaraan. Pada Sabtu, 13 September 2025, tepat jam 12.12 tengah hari, deruman enjin para penunggang menggamatkan suasana di PETRONAS Tasek Gelugor. Lokasi pertemuan sebelum mengiringi pasangan pengantin baharu, Muhammad Afdal Aiman Bin Rosli dan Amirah Syafiqah Binti Ghozali, anakanda kepada Cikgu Rosli Bainun.

Keserasian antara ahli kelab terserlah apabila mereka mengenakan T-shirt rasmi NVOG2025 sebagai simbol penyatuan. Kehadiran rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang seperti Cikgu Zamry, Fazrul, Pak Nan dan Zul Juru menyerikan lagi pertemuan, menzahirkan semangat Brotherhood yang telah lama mereka semai dalam setiap konvoi.

Tepat jam 12.22 tengah hari, barisan motor NVOG & Friends berlepas sebagai pengiring pengantin menuju Dewan Dahlia Midtown Perda di Kampung Kubang Menerong. Sepanjang perjalanan, mereka menunggang dengan penuh tertib dan disiplin mematuhi setiap lampu isyarat dan simpang, sekali gus membuktikan bahawa kebebasan jalan raya tidak pernah menghapuskan adab dan hormat sesama pengguna.

Ketibaan di dewan disambut suasana meriah dan indah, dihiasi bunga-bungaan perkahwinan serta senyuman para tetamu. Deretan motor yang diletak kemas di luar dewan menjadi simbol kehadiran mereka bukan sekadar tetamu, tetapi sahabat sejati yang sentiasa berdiri teguh bersama keluarga pengantin.

Selain meraikan majlis walimatul urus, aktiviti minggu ini turut menyemai nilai kesabaran, disiplin dan kasih sayang dalam kalangan ahli kelab. Cenderahati istimewa disediakan buat penunggang yang mengenakan T-shirt rasmi, sebagai tanda penghargaan kepada kesetiaan mereka menyertai konvoi.

Sebaik majlis selesai, konvoi pulang membawa rasa syukur dan bangga kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada detik bermakna sahabat mereka. Semoga perkahwinan Afdal dan Amirah kekal bahagia, dan semoga NVOG & Friends terus menjadi jambatan persaudaraan yang menyatukan hati-hati ikhlas di jalanan.