Sejak setahun yang lepas, dunia dirasakan berputar semakin perlahan akibat pandemik yang melanda. Tidak dinafikan, banyak negara yang terkesan dan Malaysia juga tidak ketinggalan. Pelbagai sektor seakan lumpuh akibat ancaman pandemik covid-19. Namun begitu, landskap dunia permotoran dua roda tetap berkembang pesat dan ada sahaja model keluaran terbaharu dilancarkan. Mungkin bergerak perlahan tetapi perkembangannya tetap pesat.
Dalam masa yang singkat, pelbagai peraturan baharu ditetapkan, begitu juga dengan persaingan pesat dari model-model motor elektrik dan tidak kurang juga trend serta gaya terbaharu yang tiba-tiba muncul. Di tengah-tengah perkembangan pesat dan persaingan yang kian sengit, ramai yang tertanya-tanya apakah model motor yang akan kekal bertahan?
Menurut webbikeworld.com, terdapat beberapa model motosikal dijangka bakal lenyap di tengah-tengah persaingan yang semakin hebat saban hari.
Suzuki GSF 600 Bandit (1995-2004)
Salah sebuah motosikal keluaran Suzuki paling berjaya. Sewaktu ia mula diperkenalkan sekitar awal tahun 1990-an, ia membentuk satu kategori motosikal yang baru. Sebuah naked bike middleweight dengan harga yang ekonomi, Suzuki Motorcycles membina motosikal ikonik dengan mengkaji semula enjin supersport yang agak ketinggalan dan mengantikannya dengan casis bajet dan menandainya dengan MSRP yang sangat mudah diakses.
Walaupun ketinggalan dari teknologi terkini, ia masih lagi tampil dengan pakej yang serba boleh dan memberi inspirasi kepada penunggang generasi baru. Model ini benar-benar berjaya sehingga dikeluarkan dalam beberapa varian. Seterusnya Bandit 600 digantikan dengan versi 650 pada tahun 2005 tetapi model 600 tetap boleh ditemui di atas jalan. Namun model yang didaftarkan mula berkurangan. Pada tahun 2020, hanya 6,406 model GSF 600 didaftarkan di atas jalan UK dan dijangka akan perlahan-lahan lenyap sekitar tahun 2029!
Honda CBR900RR (1992-1999)
Tidak perlu diperkenalkan, ia merupakan motor yang menterjemahkan era 1990-an dan mempengaruhi kebanyakan motor sport moden. Segak dan bergaya, mudah dikendalikan. Walaupun ia bukan motor paling berkuasa di pasaran tetapi paling kompetitif.
Tidak dinafikan ia salah satu motor yang seronok ditunggang sehingga hari ini tetapi sayangnya bilangan model ini semakin berkurangan di atas jalan. Di UK sahaja, sebanyak 3,274 masih didaftarkan dan dijangka akan benar-benar lenyap pada tahun 2029.
Kawasaki ZX900A/GPZ900R (1984-2003)
Satu lagi motor tahap legenda dan ia dikenali sebagai motor Tom Cruise yang muncul dalam filem Top Gun. Kemunculannya memberikan laluan kepada beberapa motor lain termasuk CBR900RR dan beberapa motor sport yang lainnya. Memasuki pasaran pada tahun 1984, ia dibina secara rahsia selama 6-tahun dan sebaik sahaja didedahkan oleh Kawasaki, ia menjadi tumpuan ramai.
Bagi makluman, ia merupakan motor pertama yang dilengkapi dengan enjin 4-lejang 16-injap, menghasilkan 115hp, tork 63 lb-ft dan kelajuan tertinggi 151 mph. ZX900A menjadi motor road bike pertama yang mencecah kelajuan tertinggi 150 mph. Terlalu banyak kali pertama yang dicatatkan? Ya, namun ia tidak dapat menjamin keberterusan hayatnya dan dijangka akan lenyap sekitar suku tahun ketiga pada 2029!
Yamaha R6 (1999-terkini)
Mengejutkan? Lebih mengejutkan apabila melihat kepada data dengan pengurangan jualan dalam segmen 600cc, ia memang sesuatu yang memeranjatkan. Pada hari ini, tidak ramai yang berminat dengan segmen 600cc, berbeza kali pertama R6 diperkenalkan Yamaha pada tahun 1999 yang terus menjadi kegilaan ramai.
Motor R6 ini pada awalnya menambat hati para penunggang motosikal dengan kemampuan menghasilkan kuasa 100 hp dengan tork 42.2 lb-ft — meningkat setiap kali model dikemaskini. R6 masih lagi dihasilkan, cuma permintaan dan pendaftarannya tidak lagi tinggi seperti dahulu. Keadaan mungkin berubah sekiranya penunggang motosikal kembali meminati supersport. Dengan hanya 2,322 model masih berdaftar di atas jalan UK, ia dijangka akan hilang menjelang 2027.
Kawasaki ER-5 (1996-2007 )
Dalam sejarah, inilah motor yang paling mudah didapati, mesra penunggang dan cukup versatile yang pernah dihasilkan. Ia bukan jentera yang mengarut dengan asas yang cukup cantik. Pada awalnya, ramai yang beranggapan ia sebuah motor yang membosankan tetapi itulah ciri-cirinya yang disukai kebanyakan penunggang motosikal seiring dengan tujuan ia dibina. Boleh dipercayai, mudah dan ekonomi, membuatkan pengeluarannya bertahan lebih 10 tahun
Namun, ia digantikan dengan ER-6, satu lagi motosikal yang diingati dalam sejarah sebagai model paling praktikal tetapi di antara tahun 1996 dan 2007, ER berjaya mendapatkan semula reputasi sebagai motor yang kukuh untuk model entry level. Kebanyakan penunggang yang mahu berjinak-jinak dengan dunia permotoran memilih ER-5 dan tidak hairanlah masih ada model ini berada di atas jalan. Pada tahun 2020, sebanyak 2,171 model ini yang berdaftar dan bergerak di atas jalan dan dijangkakan bakal lenyap seawal tahun 2026!
Cukup setakat 5 model dahulu, lagi 5 model akan disambung kemudian. Itu pun kalau ada yang sudi membaca!
Sumber : Webbikeworld.com