Suzuki Malaysia secara rasmi melancarkan model Suzuki SV-7GX serba baharu, sebuah motosikal crossover kelas pertengahan yang menggabungkan karakter sporty SV650 bersama keupayaan serba boleh untuk pelbagai jenis tunggangan. Direka dengan posisi tunggangan tegak bagi memberikan keyakinan penuh kepada penunggang, model ini sesuai untuk kegunaan harian, laluan berliku mahupun pengembaraan hujung minggu.

Majlis pelancaran rasmi berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YBhg. Datuk Azman bin Adam, bersama Pegawai Pengurusan dan Pengurus Besar Eksekutif Operasi Motosikal Suzuki Motor Corporation Jepun, Mr. Takashi Ise. Diadakan bersempena AMI Suzuki New Model Launch & Gala Dinner 2026, acara berkenaan turut menghargai kerjasama erat rangkaian Premium Dealer di seluruh negara.
Pelancaran model ini selari dengan perkembangan industri permotoran tempatan yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 534,886 unit motosikal dan skuter baharu dari Januari hingga Ogos 2026. Seiring peningkatan minat pengguna terhadap jentera berkapasiti lebih besar, penunggang masa kini dilihat semakin menitikberatkan aspek keselamatan, keselesaan dan keyakinan di jalan raya, di samping usaha mengekalkan persaingan adil serta kestabilan harga dalam pasaran.

Dari segi prestasi, SV-7GX dijana oleh enjin 645cc penyejukan cecair, DOHC, 90° V-Twin yang telah terbukti keandalannya selama lebih dua dekad. Enjin ini menawarkan penyampaian kuasa lancar dengan lengkung tork yang luas serta linear untuk tindak balas responsif sama ada di dalam bandar mahupun di jalan terbuka.
Enjin tersebut dipadankan dengan rangka tubular steel trellis ringan bagi menghasilkan profil motosikal yang lebih langsing serta pengendalian tangkas. Sistem suspensi dengan jarak gerakan panjang digabungkan bersama dua cakera brek hadapan terapung (floating) berukuran 290mm, angkup empat omboh serta sistem brek antikunci (ABS) demi memastikan kawalan dan kestabilan optimum dalam pelbagai keadaan jalan.

Menyokong pengalaman tunggangan moden, model ini dilengkapi pakej teknologi Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang merangkumi Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Suzuki Traction Control System (STCS) dengan tiga mod pilihan serta tetapan OFF, dan sistem Bi-directional Quick Shift. Turut disertakan ialah Suzuki Easy Start System, Low RPM Assist, port pengecasan USB Type-C, serta paparan TFT berwarna penuh 4.2 inci dengan sambungan Suzuki Ride Connect+ untuk peranti iOS dan Android yang menyokong navigasi turn-by-turn, pemberitahuan panggilan, mesej, cuaca dan trafik.
Untuk keselesaan perjalanan jarak jauh, SV-7GX didatangkan dengan penghadang angin boleh laras tiga tahap, tempat duduk berkusyen lebih tebal, pelindung buku jari bersepadu serta tangki bahan api berkapasiti 17.4 liter. Aspek praktikaliti dan gaya diperkukuh menerusi rak belakang jenis moulded, pemegang belakang besar, pencahayaan LED sepenuhnya termasuk lampu utama projektor LED dwi-fungsi, serta pilihan aksesori tulen Suzuki seperti Comfort High Seat, Touring Screen, Top Case, Soft Side Cases dan Grip Heaters tertakluk kepada ketersediaan pasaran.

Suzuki SV-7GX hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu Pearl Brilliant White / Metallic Triton Blue, Pearl Mat Greige, Glass Sparkle Black dan Pearl Brilliant White. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai model ini serta lokasi bilik pameran sah Suzuki yang terdekat boleh melayari laman web rasmi di www.suzuki.com.my.




































