Program Geng Y Members 2.0 yang berlangsung pada 27 dan 28 Jun 2025 di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara. Bukan sahaja mengumpulkan peminat permotoran, ia turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan menyemai nilai positif dalam kalangan anak muda. Program ini dianjurkan oleh Geng Y Members dengan sokongan daripada HNR Group selaku penaja utama.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh. Ternyata kehadiran beliau mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap penganjuran aktiviti belia yang positif dan berimpak tinggi.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari acara berlangsung. Antara yang mencuri perhatian termasuk Geng Y Members Drag Race Time Bracket, Auto Show, serta sesi Geng Y Members Longgok Open. Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan seperti Izam Eye, Iwan Dangdut, dan Usop Mentor. Tidak ketinggalan juga sesi selawat bersama pelajar Madrasah Seberang Tuan Chik, menjadikan program ini seimbang antara hiburan dan pengisian rohani.
Apa yang lebih mengujakan, program ini turut menawarkan pelbagai hadiah lumayan. Hadiah utama berupa sebuah Range Rover menjadi tumpuan utama, selain dua pakej umrah, satu pakej percutian ke Turki, sepuluh buah motosikal, serta lebih 120 barangan aksesori motosikal daripada pelbagai penaja yang menyokong penganjuran acara ini.
Kejayaan program ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama erat antara pihak penganjur, penaja utama seperti HNR Group, serta sokongan padu komuniti permotoran yang hadir dari pelbagai negeri. Komitmen tinggi daripada barisan pentadbir, petugas acara, dan yang terlibat secara tidak langsung jelas membuktikan bahawa semangat kerja berpasukan mampu menjayakan apa jua perancangan dengan cemerlang.
Geng Y Members 2.0 bukan sekadar sebuah program permotoran, tetapi medan untuk membina komuniti yang lebih bersatu, bertanggungjawab dan penuh inspirasi. Dengan sambutan hangat yang diterima, sudah pasti ramai menantikan edisi seterusnya.