Sudah berkali-kali, model terulung dan paling dekat di hati rakyat Malaysia- Honda EX-5 menjadi motosikal paling popular, ideal dan mencatatkan rekod jualan paling gah satu ketika dulu. Untuk meraikan pencapaian bersejarah ini, Boon Siew Honda Sdn. Bhd (BSH) telah memperkenalkan edisi 2021 yang diadaptasi bersempena dengan ulang tahun ke-35 menerusi gabungan reka bentuk ikoniknya dengan lambang khas dan jalur badan yang serba baharu.
Untuk rekod, model Honda EX5 pertama kali diperkenalkan ke pasaran pada tahun 1987. Dan sejak dari itu, model ini terus menjadi nadi kepada pengguna jentera dua roda dan dianggap motosikal ‘nasional’ pada ketika itu. Dengan populariti dan kepercayaan luar biasa yang diberikan oleh rakyat Malaysia, Honda EX5 telah menjadi sebahagian daripada ikon jentera dua roda paling ‘hangat’ selama bertahun-tahun.
Perjalanan bersejarah jentera ini selama 35 tahun telah berjaya menyentuh kehidupan dan memori melebihi dari 2 juta rakyat Malaysia satu ketika dahulu, malah jentera Honda EX5 telah memberikan mereka pengangkutan yang efesien dan mesra pengguna.
Untuk model terkini, Honda EX5 yang dikuasakan oleh enjin 110cc (bersesaran 109.17cc), penyejuk udara, silinder tunggal, yang menghasilkan kuasa maksimum 6.37 kW pada 7.500 rpm dan tork 8.62 N.m pada 5.500 rpm. Enjin Honda EX5 terbaharu dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api elektronik (PGM-Fi), yang menyumbang kepada penjimatan bahan api.
Honda EX5 Edisi 202 bersempena Ulang Tahun ke-35 dibekalkan dengan kotak gear dengan klac automatic empat kelajuan, penghidup elektrik dan tendang, tangka bahan api berkapasiti 4.3 liter, ketinggian tempat duduk 747mm, sistem suspensi teleskopik dan berkembar, sistem brek jenis dram di bahagian roda depan dan belakang.
Setiap varian akan tersedia dalam dua pilihan warna yang menarik – Euphoria Red Metallic dan Pearl Nightfall Blue dan harga bagi kedua-dua model ini ditetapkan pada tag harga RM4,783.00 bagi model rim jejari dan RM5,009.00 bagi model rim sukan.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai model Honda EX5 ini, anda boleh mengunjungi kedai motosikal Honda terpilih atau hubungi talian bebas tol Boon Siew Honda di 1-800-88-3993 atau melayari www.boonsiewhonda.com.my.